TINDAKAN bank komersial mengenakan caj tambahan perkhidmatan kaunter dan mesin deposit tunai (CDM) terhadap pelanggan merupakan tindakan yang zalim dan menindas rakyat, kata Tan Sri Munsyi Muslim Yacob.

Presiden Mahkamah Timbang Tara itu berkata, langkah bank terlibat mengenakan caj bukan sahaja menindas orang ramai dalam kemelut ekonomi sekaran malah menekan rakyat yang sememangnya telah terbeban dengan pelbagai cukai yang perlu dibayar.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai dan beberapa badan bukan kerajaan serta parti-parti politik berhubung perkara yang sama.

Beliau tidak fikir bayaran tambahan antara 50 sen dan RM2 itu sebagai satu cara untuk menambahbaik khidmat yang diberikan oleh pihak bank kepada pelanggan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kesemua pihak bank menghentikan kerakusan mereka dengan mengenakan caj tersebut.

“Kalaulah bank itu dalam satu hari mempunyai pelanggan 1,000 orang maknanya dia sudah dapat RM2,000 dengan begitu mudah.

“Perkara ini seolah membawa satu pengertian bahawa bank kekurangan sumber pendapatan ataupun tidak ada lain punca pendapatan ataupun wang RM2 itu untuk dijadikan dividen kepada pemegang-pegang saham yang mungkin bukan rakyat biasa atau pelanggan bank,” katanya kepada sebuah portal.

Menurut Muslim, tindakan yang dilakukan oleh bank-bank terbabit menyalahi peraturan dan sistem undang-undang bank sendiri yang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengutip bayaran tambahan kepada pelanggan.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Bank Negara Malaysia (BNM) yang seolah-olah menutup mata dengan perkara menimbulkan kemarahan rakyat sekarang. – 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.