RAKAN seperjuangan arwah Muhammad Adib Mohd Kasim mengharapan keputusan yang adil dan memuaskan hati semua pihak menjelang pengumuman keputusan inkues kematian anggota bomba itu esok.

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Setiawangsa, Rahmat Kamarulzaman berkata, keputusan inkues itu merupakan keputusan yang dinantikan oleh semua warga jabatan bomba untuk dapatkan satu kepastian mengenal pasti punca kematian arwah Adib.

Namun jika keputusan itu tidak memihak, Rahmat berkata, terpulang kepada pihak jabatan bomba dan kementerian untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai tindakan susulan.

“Bagi kita sebagai manusia biasa, jika tidak puas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah, ia pasti akan mendukacitakan bagi warga bomba dan rakyat Malaysia.

“Kita selaku warga bomba, mendoakan keluarga arwah Adib supaya bersabar dan boleh terima apa jua keputusan yang diumumkan mahkamah,” katanya kepada NTHQiBord, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rahmat berharap rakyat Malaysia terutamanya NGO terus mengadakan majlis bagi memperingati arwah Adib.

“Kita harap majlis sebegini berterusan, bukan sahaja untuk bomba tetapi wira-wira negara yang lain,” katanya.

Keputusan inkues kematian arwah Adib akan diumumkan esok, 27 September oleh Mahkamah Koroner Shah Alam.

Prosiding inkues itu bermula 11 Februari lalu dan berakhir pada 24 Julai selepas 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan.

Sepanjang 41 inkues berlangsung, pelbagai kontroversi tercetus termasuk percanggahan pendapat antara pakar, pemecatan peguam mewakili keluarga Adib dan penghinaan Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap kes itu.

Anggota bomba Balai Subang Jaya itu cedera parah dipercayai dipukul perusuh dalam kejadian rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November lalu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN). – NTHQiBord, 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.