KES amuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan kes terpencil dan tidak melibatkan mana-mana kumpulan pelampau atau individu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya itu didapati terpengaruh dengan video keganasan dari Timur Tengah yang ditonton melalui media sosial.

“Arwah (suspek) yang menyerang terpengaruh dengan banyak video bersifat ganas dari Timur Tengah serta mengenai apa yang didakwa kekejaman terhadap Islam di sana.

“Video ganas ini jika tidak difahami atau tidak didalami mungkin mempengaruhi kita…polis dapati penyerang datang daripada keluarga baik tetapi beliau terpengaruh melihat video ganas,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Isnin lepas, polis Pulau Pinang menembak mati seorang lelaki selepas menetak dua rakan sekerjanya dan menyebabkan seorang daripada mangsa maut dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Abdul Hamid menegaskan polis tidak lagi akan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyebarkan artikel tidak tepat berhubung apa juga isu.

“Individu yang berkongsi artikel atau membuat komen tambahan akan ditahan saya ingatkan tiada lagi amaran seperti sebelum ini.

“Ada pihak tidak bertanggunngjawab memuat naik artikel yang tidak tepat dengan niat menyakitkan hati orang serta mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Malah, katanya polis juga membuat laporan berhubung artikel berbaur hasutan di mana-mana platform media sosial.

“Polis kini aktif mengambil tindakan kerana ada individu tidak bertangungjawab cuba eksploitasi dan kami tidak akan berdiam diri,” katanya. – 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.