JAUH di sudut hati Mohd Kassim Abdul Hamid, bapa kepada arwah Muhammad Adib ini tidak puas hati jika keputusan inkues kematian anaknya tidak seperti diharapkan.

Namun sebagai orang Islam, bapa berusia 64 tahun ini, bersedia untuk reda dengan sebarang keputusan yang akan diumumkan esok oleh Mahkamah Koroner Shah Alam.

Beliau dan keluarganya masih mengharapkan keadilan dapat ditegakkan untuk anak kesayangan mereka yang menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan manusia.

“Kalau diikutkan memang kena reda dengan sebarang keputusan. Namun jauh di sudut hati, saya memang tidak berpuas hati.

“Apapun keputusan, saya dan keluarga perlu reda namun harapan kami pastinya ingin melihat keadilan

“Sama-sama kita berdoa supaya apa keputusan yang dikeluarkan nanti diadili dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada sebuah portal hari ini.

Esok, 27 September menjadi detik penentu sama ada keadilan mampu ditegakkan buat arwah Adib selepas inkues kematiannya berlangsung selama 41 hari dengan penuh kontroversi.

Antara kontroversi yang berlaku termasuk campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas ketika inkues sedang berlangsung selain drama pemecatan peguam yang mewakili keluarga arwah Adib.

Tidak cukup dengan itu, percanggahan pendapat antara pakar forensik juga mengelirukan rakyat seolah-olah wujud campur tangan dalam inkues itu.

Malah Mohd Kassim sendiri pernah menyuarakan harapan agar tiada campur tangan mana-mana pihak dalam inkues tersebut.

“Saya menyeru orang ramai turut sama-sama berdoa supaya keputusan inkues ini nanti dapat memberikan keadilan dengan seadilnya tanpa ada sebarang gangguan dan campur tangan mana-mana pihak,” katanya. – 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.