KERAJAAN Pakatan Harapan digesa mengkaji semula skim perlindungan kesihatan nasional, MySalam untuk memastikan bahawa rakyat terus menikmati perkhidmatan kesihatan dan perubahan yang profesional, berkesan dan berpatutan, kata MCA.

Timbalan Presidennya, Datuk Mah Hang Soon berkata, sejak pelancaran skim MySalam, pelbagai kritikan telah disuarakan.

Malah kata Hang Soon, ramai pihak meragui jika kerajaan betul-betul boleh membantu golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perlindungan ini walaupun sejumlah wang besar telah diperuntukkan untuk skim ini.

Jelasnya, skim ini hanya untuk golongan B40 di antara umur 18 hingga 55 tahun, yang didapati menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang ditetapkan awal lagi, namun tidak merangkumi mereka yang jatuh sakit sebelum 1 Januari 2019.

“Akibatnya, skim ini dilihat lebih memihak kepada syarikat insurans dan tidak menepati niat kerajaan untuk melindungi golongan B40.

“Sementara kita semakin tua, kita lebih mudah jatuh sakit. Lain kata, apabila perlindungan insurans tidak diperlukan lagi, golongan B40 yang berumur lebih daripada 55 tahun tidak akan memiliki perlindungan insurans,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Hang Soon berkata, MCA menggesa kerajaan Pakatan Harapan memandang serius skim itu keran ia merupakan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang profesional, berkesan dan berpatutan kepada rakyat.

Tegasnya, tanggungjawab itu tidak sepatutnya diserahkan kepada sebuah korporat swasta yang berorientasikan keuntungan.

“Sebaliknya, kerajaan harus menggunakan wang rakyat untuk menaik taraf peralatan perubatan awam, mempercepatkan proses menunggu, mengurangkan kesilapan perubatan, dan mempercepatkan latihan “housemanship” untuk graduan perubatan.

“Hanya dengan memperbaiki perkhidmatan perubatan awam, bolehlah kepentingan golongan B40 betul-betul dijamin,” katanya. – 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.