TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy akan dipanggil semula polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya terlibat dalam gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan baharu selepas menerima laporan mengenainya walaupun kes yang sama pernah disiasat pada tahun 2013.

“Apabila perkara ini dibangkitkan semula, saya mengarahkan satu lagi kertas siasatan dibuka dan melihat sekiranya ada bukti-bukti baharu.

“Sekarang ini, laporan telah pun kita terima dan buka satu kertas siasatan dan kita akan panggil (Ramasamy) untuk diambil keterangan.

“Polis akan menyiasat dengan lebih luas lagi sekiranya ada bukti-bukti baharu,” katanya.

Isu LTTE timbul semula selepas tular di media sosial mengenai video didakwa majlis pro-LTTE yang membawa fahaman pengganas melibatkan Ramasamy.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memastikan ada bukti-bukti baharu yang boleh mengaitkan Ramasamy dengan pergerakan pengganas itu meskipun beliau telah mengemukakan bukti pembelaan pada tahun 2013.

“Dalam kes lama, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ini dalam alasan membela dirinya di mahkamah mengatakan bahawa bukan saja LTTE, dia mendokong kebebasan.

“Sebab itu beliau mempunyai video berkenaan sewaktu pergi ke Acheh di mana menyokong Gerakan Pembebasan Acheh. Beliau juga mempunyai bukti-bukti menunjukkan beliau juga pergi ke Selatan Filipina untuk mendokong perjuangan mendapatkan hak minoriti Islam di Mindanao.

“Bagaimana agaknya selepas ini, kita akan tengok yang lain sekiranya ada bukti menunjukkan bahawa beliau betul-betul membuat satu perbuatan yang betul-betul menyalahi undang-undang,” katanya.

Katanya lagi, mana-mana pihak yang cenderung kepada gerakan pengganas itu akan diharamkan sekiranya ia tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita ambil tindakan, kita nak lihat ianya berdaftar atau tidak dengan RoS, sekiranya pertubuhan haram, kita haramkan,” katanya. – 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.