PEMUDA Parti PUTRA, Wira PUTRA berharap keputusan inkues kematian arwah Muhammad Adib Mohd Kassim akan berpihak kepada mereka yang teraniaya.

Ketua Penerangan Pergerakan Wira PUTRA, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, hasil keputusan itu nanti, jika memihak kepada keluarga arwah Adib, beliau berharap mereka yang terlibat dalam kematian anggota bomba itu diheret ke muka pengadilan.

Jelasnya, mereka yang menjadi punca kematian arwah Adib perlu diberi hukuman yang sewajarnya mengikut undang-undang.

“Jika inkues itu tidak berpihak kepada arwah Adib, Wira PUTRA masih berpegang kepada pendirian untuk mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubukan bagi menyiasat semula kes kematian arwah Adib.

“Langkah itu yang paling penting supaya keadilan dapat ditegakkan serta hak mangsa dan kebajikan keluarga Adib terbela,” katanya kepada NTHQiBord baru-baru ini.

Keputusan inkues kematian arwah Adib akan diumumkan esok, 27 September oleh Mahkamah Koroner Shah Alam.

Prosiding inkues itu bermula 11 Februari lalu dan berakhir pada 24 Julai selepas 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan.

Sepanjang 41 inkues berlangsung, pelbagai kontroversi tercetus termasuk percanggahan pendapat antara pakar, pemecatan peguam mewakili keluarga Adib dan penghinaan Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap kes itu.

Anggota bomba Balai Subang Jaya itu cedera parah dipercayai dipukul perusuh dalam kejadian rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November lalu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN). – NTHQiBord, 26 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.