PIHAK bank akhirnya akur dengan desakan rakyat agar membatalkan caj perkhidmatan bank yang akan dikuatkuasakan pada 1 Oktober ini.

Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mengarahkan penarikan semula arahan membabitkan caj pembayaran sebanyak RM2 bagi cek dan tunai untuk kad kredit serta bayaran pembiayaan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM).

ABM dalam satu kenyataan berkata, perkara itu akan dilaksanakan oleh kesemua bank anggotanya.

Ketika ini, segmen pelanggan tertentu telah diketepikan dari caj tersebut iaitu untuk pelanggan kelainan upaya dan warga emas.

“Untuk pelanggan, terdapat alternatif bebas dan mudah yang disediakan untuk menjalankan transaksi perbankan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang disediakan melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Bank ahli kami akan berkomunikasi terus dengan pelanggan mengenai perkara ini dan bersedia membantu pelanggan mereka untuk membiasakan diri dengan saluran alternatif atau pada sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkara ini,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai caj perkhidmatan yang dikenakan di kaunter dan CDM sebanyak RM2 atau 50 sen untuk setiap transaksi.

Isu itu turut mendapat perhatian beberapa ahli politik seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim yang menyifatkan caj tersebut sebagai keterlaluan dan membebankan pengguna terutama golongan B40.

Najib menyindir kerajaan Pakatan Harapan kerana pernah lantang membantah caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 sen yang dikenakan untuk setiap pengeluaran duit dari ATM melalui rangkaian MEPS.

Padahal caj tersebut, kata bekas Perdana Menteri itu hanya dikenakan jika menggunakan ATM milik bank yang berlainan dari bank pengguna.

Bukan caj itu sahaja, kata Najib tetapi bank-bank juga mengenakan cukai baru RM25 setiap keping kad kredit sejak awal tahun ini.

Rais Yatim pula menyeru orang ramai membantah tindakan beberapa bank yang mengenakan caj pada perkhidmatan di kaunter dan CDM bagi pembayaran bil kad kredit.– 27 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.