MAHKAMAH Koroner Shah Alam sudah memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca akibat perbuatan jenayah, dan bukannya dilanggar oleh jentera bomba.

Keputusan ini ibarat satu kemenangan buat seluruh rakyat terutamanya keluarga Muhammad Adib dalam mencari kebenaran walaupun ada cubaan menutup tragedi yang menimpa ahli bomba itu.

Tetapi bagi peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzzaman Wahab, ia adalah permulaan memastikan kematiannya terbela.

Jelasnya, keputusan Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim disifatkan bukan penamat kepada usaha mendapatkan keadilan kepada anggota bomba itu.

“Mahkamah Koroner telah membuat keputusan bahawa berdasarkan keterangan saksi, pakar dan dying declaration dari si mati, membuktikan si mati telah dipukul dan menyebabkan kematian oleh sekumpulan orang. Jadi kami mahu Peguam Negara dan polis menangkap dan mendakwa penjenyaah terlibat di mahkamah sebagaimana disaran mahkamah koroner hari ini.

“Inkues ini bukan penamatnya. Inkues ini cuma permulaannya.

“Pada hari ini mahkamah telah memutuskan bahawa arwah Adib mati kerana dipukul,” katanya kepada media di luar perkarangan Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.

Justeru, pasukan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib mahu pihak berkuasa dan Peguam Negara, Tommy Thomas mengambil tindakan sewajarnya.

“Oleh yang demikian kita berharap ada tindakan yang seterusnya oleh pihak polis dan Peguam Negara,” katanya lagi.

Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – 27 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.