AKIBAT teruk dikecam ramai pihak, Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer akhirnya umum tarik diri daripada mewakili tertuduh kes sindiket jual MyKad kepada warga asing.

Sebelum ini, Rayer dikritik kerana menjadi peguam bela Datuk Lai Chin Wah yang merupakan salah seorang tertuduh dalam kes sindiket.

Antara yang lantang mengkritik adalah Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan yang kesal dengan tindakan Rayer menjadi peguambela tertuduh kedua dalam kes tersebut kerana ia membabitkan tuduhan khianat kepada negara dan kes itu berkaitan dengan kedaulatan Malaysia.

“Saya tidak faham langsung sebenarnya, apa sebenarnya keperluan seorang wakil rakyat yang telah diundi dan diberikan kepercayaan tidak berbelah bahagi lagi-lagi dari parti pemerintah untuk melibatkan diri dalam kes besar dan amat sensitif seperti ini?” katanya.

Rayer berkata, keputusan tarik diri dibuat kerana tidak mahu pembabitannya dalam kes tersebut akan digunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk membuat tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap DAP, kerajaan Pakatan harapan serta para pemimpin.

“Oleh yang demikian, setelah memikirkan perkara ini secara mendalam saya telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh Dato’ Lai Chin Wah dalam kes ini bermula hari ini,” katanya.

Ahli Parlimen Jelutong itu berkata kepada mahkamah bahawa beliau telah hadir sebagai peguambela tertuduh pada 18 September lalu selepas dilantik oleh keluarga tertuduh.

Katanya, berikutan itu, terdapat pihak tertentu termasuk parti-parti politik yang mempersoalkan pelantikan tersebut kerana beliau merupakan seorang ahli Parlimen kerajaan.

Menurut Rayer, beliau tetap berpendirian bahawa tidak ada sebarang konflik kepentingan jika beliau terus menjadi peguambela tertuduh dalam kes tersebut kerana Malaysia mengamalkan separation of powers.

“Walaupun saya merupakan seorang ahli Parlimen kerajaan tiada apa-apa undang-undang yang menghalang saya menjadi peguambela di mahkamah yang mulia ini untuk membela Dato’ Lai Chin Wah iaitu salah seorang tertuduh yang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di sisi undang-undang.

“Saya menegaskan di sini bahawa walaupun saya tidak takut dan gementar dengan apa-apa ugutan yang dibuat terhadap saya secara peribadi namun saya tidak mahu penglibatan saya salam kes ini digunakan pihak tidak bertanggungjawab…,” katanya. – 27 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.