KEMATIAN ahli bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca akibat perbuatan jenayah dan kegagalan polis untuk bertindak pantas masa kejadian, kata Mahkamah Tinggi Koroner Shah Alam.

Keputusan itu sekali gus mengesahkan bahawa arwah Adib meninggal dunia akibat kecederaan dipukul perusuh di kuil Seafield pada November tahun lalu.

Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya sebentar tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

“Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri,” katanya.

Menurutnya, kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan semasa turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

“Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Sehubungan itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan dapatan tersebut kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan sekiranya diperlukan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. – 27 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.