PAS menggesa pihak polis supaya menubuhkan pasukan khas dan membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dengan segera.

Setiuasaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak polis juga perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner sebagai keterangan prima facie.

Beliau bagaimanapun berkata, Pas yakin polis dengan bantuan semua pihak yang mahukan keadilan ditegakkan terutama melibatkan penjawat awam yang mati semasa dalam tugas mampu menangkap dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Pas berpuas hati dengan keputusan (verdict) Inkues Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang telah dibuat oleh Koroner Rofiah Mohamad hari ini iaitu; ‘kecederaan dan kematian Allahyarham adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali’ ”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, pihaknya turut menggesa prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas diteruskan dengan tanpa gangguan bagi memperlihatkan keadilan ditegakkan tanpa gentar atau memihak.

“Tindakan ini perlu bagi meningkatkan keyakinan rakyat jelata terhadap Jabatan Peguam Negara khasnya dalam menegakkan keluhuran undang-undang dan menjamin keadilan,” katanya.

Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – 27 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.