PAS dan UMNO perlu memberi ruang kepada calon dari parti komponen Gagasan Sejahtera, BERJASA untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, gesa Datuk Aliff Tafid.

Ketua Bahagian Parti IKATAN Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, langkah ini penting bagi mengikis tanggapan bahawa parti BERJASA dan IKATAN dipinggirkan dalam Gagasan Sejahtera yang dipimpin PAS.

Jelasnya, UMNO telah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di dua kerusi DUN Rantau dan Semenyih serta satu kerusi Parlimen di Cameron Highland.
“UMNO dan MCA tidak perlu berebut dan menuding jari antara satu sesama yang lain (berhubung calon di Tanjung Piai).

“Untuk mengelakkan ketegangan antara dua parti komponen BN ini, eloklah jika kedua-duanya tidak perlu bertanding.

“Sebagai salah satu komponen dalam Gagasan Sejahtera, Parti IKATAN mendesak pimpinan UMNO-BN dan PAS beri laluan kali ini dan lagi sekali kepada BERJASA atas dasar dan prinsip Muafakat Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aliff juga mengingatkan kepimpinan parti IKATAN dan BERJASA untuk mengkaji semula kerjasama politik dengan Gagasan Nasional jika kedua-dua parti itu dipinggirkan dalam Muafakat Nasional.

“PAS sebagai ketua dalam mengurus tadbir Gagasan Sejahtera perlu bersikap tegas terhadap UMNO untuk meletakkan calon PRK di tanjung piai dari Parti BERJASA.

“Jika tidak, ianya dianggapkan bahawa BERJASA dan IKATAN ini hanyalah parti yang dipinggirkan.

“Jika benar bahawa UMNO dan PAS meminggirkan parti seperti BERJASA dan IKATAN, bolehlah BERJASA dan IKATAN undur diri dan menubuhkan blok politik yang baharu demi maruah masing-masing.

“Namun ia bergantung pada maruah dan kepimpinan presiden parti masing-masing,” katanya. – 28 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.