RAKYAT tidak perlu melihat Kongres Maruah Melayu sebagai satu persaingan terhadap kerjasama politik antara UMNO dan PAS, kata Gerakan Islam Melayu (GIM).

Presiden GIM, Ariffin Abu Bakar berkata, UMNO dan PAS sudah berjaya dalam penyatuan ummah, dan Pakatan Harapan (PH) mengharapkan hasil yang sama dalam kongres tersebut.

Jelasnya, rakyat tidak perlu berfikir negatif terhadap kongres itu sebaliknya mereka perlu ambil positif tentang usaha yang dilakukan pemimpin Melayu dalam PH.

“Mungkin mereka (pemimpin Melayu) sedar apa yang sedang dilakukan Bangsa DAP dalam kerajaan dan mereka masih berkira-kira tentang soal kerusi (Parlimen).

“Dalam PH juga ada golongan ultra Melayu dan menjadi kesedaran untuk pemimpin mereka menganjurkan kongres ini demi kepentingan Islam dan Melayu,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Ariffin berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan itu dengan harapan kongres itu dianjurkan secara telus seperti penyatuan ummah.

Beliau juga mengingatkan NGO-NGO Melayu agar menjalankan tugas sebagai sebuah badan berkecuali dan tidak terjebak dengan politik.

“Inilah kelemahan orang Melayu. Walaupun jadi orang biasa, mereka memandai-mandai untuk buat kerja politik.

“Sudah cukup jika kita bagi sokongan kepada kongres ini yang pastinya bertujuan menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

“Tapi kita harapkan biarlah Kongres Maruah Melayu ini telus macam penyatuan ummah. Telus tapi jangan sampai nampak jadi satu saingan kepada penyatuan ummah.

“Ini adalah usaha Pakatan harapan, jadi kita akan terus sokong selagi berlandaskan agenda untuk menegak Islam dan Melayu serta memerangi Bangsa DAP,” katanya. – NTHQiBord, 28 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.