TINDAKAN Tun Mahathir Mohamad mahu menyenaraikan Petronas Carigali di Bursa Saham Malaysia disifatkan sebagai tindakan ‘keterbelakang’ dan langkah mudah tanpa memikirkan impak dan kesan jangka panjang, kata pemimpin UMNO.

Semalam, Perdana Menteri semasa di New York semalam berkata bahawa Malaysia akan menyenaraikan anak syarikat Petronas iaitu Petronas Carigali di dalam Bursa Malaysia bagi menarik lebih ramai pelabur ke pasaran saham tempatan.

Namun Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Razlan Rafii berkata, walaupun berstatus anak syarikat, Petronas Carigali merupakan subsidiari paling utama Petronas yang berperanan untuk mencari dan mengeluarkan petroliam dan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan Petronas.

Jelasnya, jika diikutkan anggaran yang diberikan, Petronas Carigali bernilai sekurang-kurangnya RM250 bilion hingga RM300 bilion.

Sebagai contoh katanya, jika Petronas Carigali menjual 20% saham sahaja, ia akan memperolehi RM50 bilion hingga RM60 bilion.

“Mengikut kepada trend ‘Menteri Kewayangan’ (Lim Guan Eng), pastinya Pakatan Harapan akan mendakwa penjualan saham tersebut sebagai pelaburan asing (FDI) sedangkan ia adalah satu tindakan yang menjual aset negara.

“Mungkin Tun Dr Mahathir terlupa untuk melihat apakah kesan penyenaraian FGV (syarikat milik Felda) sebelum ini di Bursa Malaysia dan apa sudah jadi kepada saham FGV di Bursa Saham Malaysia kini?

“Ia juga ditambah lagi dengan berita sekitar Mei 2019 di mana Bloomberg telah melabelkan Bursa Saham Malaysia dari “sole loser” di Asia menjadi bursa paling teruk dalam dunia untuk tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Razlan turut membangkitkan kebimbangan tentang amalan kroni dan pihak berkepentingan yang semakin berleluasa dalam pimpinan Pakatan Harapan jika Petronas Carigali disenaraikan.

Katanya, pihak yang berkepentingan dalam kerajaan mungkin akan melabur dan membeli saham syarikat itu dengan keadaan Bursa Saham Malaysia yang merudum pada ketika ini.

“Ya, dengan penyenaraian ini, pastinya ia akan lebih mudah untuk ahli perniagaan sekutu PH membeli dan memiliki saham Petronas Carigali.

“Akhirnya, sekali lagi rakyat ditipu kononnya dengan penyenaraian ini ia akan merancakkan Bursa Saham Malaysia.

“Tetapi ia lebih kepada untuk menghalalkan penjualan pegangan aset syarikat milik kerajaan (GLC) kepada kroni-kroni dan pihak-pihak berkepentingan kepada beliau (Tun Mahathir),” katanya.

Oleh itu, Razlan menyeru semua pihak terutamanya pekerja Petronas untuk bangkit membantah tindakan penyenaraian tersebut supaya kepentingan anak syarikat utama Petronas itu akan sentiasa terbela dan terjaga.

Katanya, polisi dan tindakan seperti ini adalah sangat tidak sihat dan akan menyebabkan sesiapa sahaja yang mengambil alih pentadbiran negara selepas pentadbiran Tun Mahathir pastinya akan mempunyai masalah.

“Sebelum pilihan raya, ramai pekerja Petronas yang membangkitkan isu BN mengambil wang Petronas, mamun sekarang PH lebih rakus dan mengambil dua kali ganda wang dari saku Petronas.

“Pekerja Petronas perlu bangkit untuk membantah penyenaraian ini, Petronas Carigali adalah nadi kepada Petronas dan tiada keperluan buat masa ini,” – 28 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.