SOKONGAN seluruh masyarakat secara istiqamah amat diperlukan bagi melahirkan lebih banyak jutawan Muslim menerusi kempen Utamakan Produk Islam Bumiputera (BMBF), kata Pengerusi UMMAH Johor, Dr Mohd Mazri Yahya.

Beliau berkata, konsep membeli barang Muslim sudah lama diamalkan tetapi ia dilakukan secara peribadi.

Jelasnya, menerusi kempen BMBF, ia menjadi makin rancak dan terus tular agar dapat membantu Bumiputera untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Bukan hanya seorang jutawan, tetapi ribuan akan menjadi jutawan muslim jika Kempen Beli Produk Muslim berjaya dan menjadi amalan.

“Yang penting bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kempen ini digerakkan kerana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang pada dasarnya bertujuan memperbetulkan kembali ketidakseimbangan sosioékonomi yang wujud antara kaum di negara ini, tidak begitu berhasil.

“DEB cuba bina ekonomi Bumiputera, tetapi malangnya DEB tidak sepenuhnya gagal dan tidak sepenuhnya berjaya. Usahawan yang terbentuk, berada di pertengahan tetapi tidak sampai ke bawah.

“Dengan adanya BMBF, satu gerakan dari bawah ke atas, kita sendiri akan bina bentuk masyarakat usahawan Melayu Islam yang berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mazri berkata, bagi menjayakan kempen ini, terdapat beberapa syarat yang perlu dilaksanakan supaya program ini kekal di setiap sanubari masyarakat.

“Yang pertama, pengguna perlu istiqamah membeli produk Muslim. Peniaga pula perlu menjaga kualiti produk, perlu sentiasa memperbaharui produk supaya setaraf dengan barang bukan Islam. Pada masa sama, kita perlu menolak amalan riba dalam perniagaan, sementara konsep sedekah, zakat perlu diperkasakan.

“Sekiranya ini dilakukan, pengguna tidak akan rasa kecil hati dan yang kaya akan menggunakan keuntungan dengan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Jika kita dapat laksanakan perkara ini, insyaAllah ekonomi Islam akan berkembang di bumi kita sendiri,” katanya. – 29 September, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.