PELANTIKAN Dr. Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mampu memulihkan imej agensi kerajaan itu, kata Pertubuhan Kesejahteraan dan Hak Rakyat (POWER).

Pengeruis POWER, S. Gobi Krishnan berkata, pelantikan ini tepat pada masanya bagi menangani situasi masakini tatkala SSM terbelenggu dengan isu salahguna kuasa dan rasuah jutaan ringgit yang melibatkan pegawai kanannya.

Tambahnya, POWER yakin Dr. Azman akan memberi keutamaan dalam isu tersebut bagi mendokong integriti.

“(Pelantikan) Ini menuntut langkah-langkah pembersihan dan pembetulan seawal mungkin sebelum gejala rasuah dan salah guna kuasa dikhuatiri menjadi barah di SSM.

“Kami menyokong penuh pelantikan Dr Azman yang dilihat terbaik atas asas kelayakan, kewibawaan dan pengalamannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Azman adalah pemegang ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan dan Ijazah Masters dalam bidang Fizik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Beliau juga mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ICT dan latihan.

Selain itu, Dr. Azman juga adalah penulis maha karya yang menjadi rujukan ramai iaitu buku ‘Prophet Muhammad: The Hallmark of Leadership, di mana beliau mengupas dengan jelas sifat-sifat kepimpinan Nabi Muhammad.

Sehubungan itu, S. Gobi percaya Dr Azman mampu menerapkan segala ilmu kepimpinan ini dalam membawa SSM ke mercu kegemilangan.

“Tahniah juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya membongkar gejala rasuah dan salah guna kuasa di dalam SSM.

“Rakyat dan rata-rata kakitangan SSM menanti tindakan seterusnya dengan prinsip keadilan. Cabaran menanti Dr Azman dalam memulihkan imej SSM cukup besar.

“Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana komited untuk memulihkan imej SSM dan mengambil keputusan tepat dengan pelantikan Azman,” katanya. – 29 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.