SATU petisyen wajar dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy Thomas selepas Peguam Negara itu dilihat mengambil kedudukan memihak, subjudis.

Ia susulan tindakan Tommy memfailkan afidavit yang mengatakan Muhammad Adib Mohd Kassim Abdul Hamid meninggal dunia bukan kerana dipukul.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, desakan memecat adalah selari dengan kertas penghakiman yang menyatakan bahawa perlakuan Tommy Thomas telah ‘scandalized’ prosiding inkues.

“Tommy Thomas telah merosakkan integriti Jabatan Peguam Negara. Tambahan pula, pendakwaan kes jenayah ini bergantung kepada bidang kuasanya.

“Hal ini akan menampakkan keadilan sukar ditegakkan kerana tindakan Peguam Negara yang bersikap memihak sejak prosiding inkues dijalankan.

“Oleh itu, pemecatan ke atasnya atau perletakan jawatan secara bermaruah perlu dilakukan oleh Tommy Thomas dalam kadar segera,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada kenyatan sama, Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan rasa syukur atas keputusan inkues kematian Muhammad Adib yang dibacakan oleh Koroner Rofiah Mohamad semalam.

“Berdasarkan keputusan inkues, beliau meninggal dunia berpunca daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali. Semoga punca kematian yang telah dikenal pasti akan mengheret para penjenayah sebenar ke muka pengadilan,” kata Muhammad Zawawi.

Semalam, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Mahamariamman USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lepas selepas 21 hari bertarung nyawa. – 29 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.