SABAH menjadi negeri kelima mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Perkara itu diumumkan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di negeri Sabah. Kita telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini.

“Cuma kena ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kita kira bukan hanya masuk universiti tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah,” katanya menurut laporan sebuah portal.

Sebelum ini, Sarawak, Melaka, Pulau Pinang dan Selangor turut mengiktiraf sijil itu.

Keputusan itu dijangka menghangatkan kembali isu UEC yang sebelum ini menimbulkan kontroversi di Semenanjung.

Malah setakat ini Kementerian Pendidikan belum mengiktiraf sijil itu tetapi kerajaan negeri berhak untuk membuat keputusan sendiri berhubung perkara itu.

Sijil itu diperjuangkan oleh kumpulan pro-DAP, Dong Zhong yang sebelum ini juga membantah isu pelaksanaan seni khat dan jawi di sekolah vernakular.

Sijil berkenaan diiktiraf sebagai syarat kemasukkan ke institusi pendidikan antarabangsa di Singapura, Australia, Taiwan, China, beberapa negara Eropah serta kolej-kolej swasta di Malaysia.

Di Sabah, terdapat sembilan sekolah atau institusi yang menawarkan pendidikan UEC melibatkan 1,153 murid peringkat junior dan 583 pelajar senior yang perlu menduduki dua peperiksaan.

Sebelum ini Jabatan Pendidikan Sabah turut mengiktiraf UEC dengan beberapa syarat tertentu.

Syarat ditetapkan ialah UEC mesti digandingkan dengan syarat asas kemasukkan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti mendapat kepujian Bahasa Melayu serta lukus Sejarah dan Malaysia University English Test (MUET). – 28 September, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.