SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi meneruskan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dalam kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ke muka pengadilan.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, penubuhan suruhanjaya ini amat penting bagi mengelakkan mana-mana pihak berkepentingan dari menganggu gugat perjalanan keseluruhan pendakwaan.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak polis dan Pejabat Peguam Negara memberikan prioriti khas kepada keseluruhan siasatan untuk mendakwa dan menghukum mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam kes ini.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah buat seluruh pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib dalam prosiding inkues kerana keikhlasan berjuang menegakkan kebenaran.

“Mereka juga mengetepikan bukan sahaja habuan wang ringgit malah, tekanan demi tekanan yang diterima dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Syabas juga diucapkan kepada Koroner Rofiah Mohamad yang dengan jujur dan berani dalam membuat keputusan tanpa kompromi terhadap pihak yang selama ini dilihat menekan dan mencengkam keseluruhan proses prosiding ini sejak dari awal lagi,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Februari lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Sebanyak 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN). – 29 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.