JABATAN Statistik melaporkan harga rumah meningkat berkali ganda antara tahun 2010-2019. Baca laporan “Median House Price in Malaysia 2010-Q1 2019”.

Dilaporkan harga median rumah (harga penengah) di Malaysia ialah pada kadar RM303,000. Pada 2010, median harga rumah adalah pada RM158,000 sahaja.

Peningkatan harga sangat tinggi khususnya di kawasan bandar besar. Di Selangor median harga rumah ialah RM477,816.

Manakala di Wilayah Persekutuan median harga rumah adalah paling tinggi iaitu pada RM 779,488.

Setakat Q1 2019, “The Malaysia’s Property Stock” pula melaporkan terdapat sebanyak 5,627,322 unit rumah tidak terjual di negara ini.

Terdapat juga sebanyak 447,636 unit rumah yang masih dalam pembinaan dan masih belum dijual.

Maksudnya bila dicampurkan kedua duanya, akan ada lambakan 6,000,000 unit kediaman di negara ini dalam masa terdekat.

Jika anda ambil harga median kebangsaan (RM303,000) dan didarabkan dengan 6 juta unit rumah yang belum terjual maka anda akan dapat ketahui apakah nilai sebenar lambakan rumah buat masa ini.

Tentu sahaja angka-angka ini menakutkan pemaju dan kerajaan.

Mengikut “The Malaysia’s Property Stock Q1 2019”, jumlah ini belum termasuk unit SOHO (small office home office) dan serviced apartment yang masih banyak tidak terjual.

Bayangkan jika dicampurkan sekali dengan lambakan 6 juta rumah buat masa sekarang? Berapa ratus billion agaknya?

Antara bulan Januari hingga Mac 2019, dilaporkan di dalam “The Malaysia’s Property Stock Q1 2019” di bahagian “Transaction Data (demand) vs Stock Data (supply)”, hanya 52,199 sahaja unit terjual di seluruh negara.

Bayangkan berapa peratus yang telah berjaya dijual dari 6 juta unit yang tidak terjual? Hanya 0.8%. Tak sampai 1% pun yang terjual. Jika trend ini berlanjutan sepanjang Q2-Q4/2019 dan 2020, anda boleh bayangkan sendiri apakah yang akan terjadi pada ekonomi negara.

Memang benar semua ini bermula dari kesilapan kerajaan terdahulu. Ini hakikat. Projek bina perumahan perlukan beberapa tahun. Hampir semuanya telah dimulakan sebelum PRU14 lagi. Dan kerajaan lama sudahpun diberikan hukuman bila kalah dalam PRU14.

Ini adalah masa untuk kerajaan baru membetulkan semula keadaan. Tidak sepatutnya pemaju terus disokong untuk membina lebih rumah mewah. Janganlah kerajaan baru ulangi kesilapan kerajaan yang lalu.

Apa lagi meneruskan sokongan pada pemaju tamak sebagaimana kerajaan yang lalu. Cadangan untuk menjual lambakan rumah mewah pada warga asing sehingga tahap kerajaan sendiri mahu menganjurkan kempen di China dan Hong Kong bukanlah keputusan yg dilihat mendahulukan rakyat sendiri.

Pemaju harus dipastikan bertanggungjawab sepenuhnya atas perancangan mereka. Bank Negara juga harus di pertanggungjawabkan. Mereka juga telah gagal mengawal lambakan rumah mewah.

Mereka tahu akan berlaku lambakan rumah segmen mewah (RM1 juta ke atas) tetapi mereka terus juga membenarkan pemaju membina rumah mewah.

Pemaju tamak dan selalu mahu untung besar. Mereka tidak mahu membina rumah mampu milik kerana untungnya kecil.

Betul kata orang dulu, “orang tamak selalu rugi macam anjing dan bayang-bayang”. Dulu mereka gembira untung besar tapi sekarang stok rumah banyak tidak terjual. Mereka mula rugi besar.

Sedangkan laporan tahunan “The Residential Transaction Data 2019” menunjukkan dari 12, 884 rumah yang terjual di Selangor, 62.2% adalah rumah di bawah harga RM300,000.

Itulah segmen rumah yang diperlukan oleh rakyat. Rakyat perlu rumah mampu milik yang berkualiti.

Jika sejak awal pemaju tidak tamak dan terus membina rumah mampu milik sesuai dengan kadar pendapatan rakyat terbanyak, hari ini lambakan rumah mungkin akan dapat dielakkan.

Apabila kerajaan hari ini dilihat mengambil sikap bersungguh sungguh mahu membantu pemaju tamak, maksudnya kerajaan hari ini telah menafikan kebajikan rakyat terbanyak. Mereka sedang mengulangi kesilapan kerajaan yang lepas.

Bila kerajaan bantu pemaju tamak, maksudnya harga rumah tidak akan turun malah akan semakin naik pada masa depan.

Kenaikan harga hartanah khususnya rumah dan kedai akan meningkatkan harga barangan dan kos sara hidup rakyat.

Rakyat tidak mampu beli rumah, terpaksa menyewa dengan harga yang semakin mahal. – 30 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.