KEMPEN Utamakan Produk Muslim Bumiputera (BMBF) sepatutnya dilakukan sejak merdeka lagi, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Katanya, ini kerana orang Islam sering dihina, diperbodohkan dan dikatakan tidak reti buat apa-apa oleh pihak tertentu sedangkan keadaan ekonomi ketika awal merdeka sama saja antara golongan Islam dan bukan Islam.

“Apabila bukan Islam buka kedai, orang Islam beli barang di sana menyebabkan kedai yang kecil dipelopori oleh bukan Islam menjadi maju.

“Sebab itu mereka boleh buka pasaraya sekarang ini. Mereka kaya sebab kita telah membantu mereka dulu. Tapi kita, orang Islam buka kedai pun kita tak pergi, akhirnya (kedai) tutup. Dari situ hukumnya haram sebab kita memboikot sesama Islam,” katanya kepada sebuah portal.

Abdul Rahman berkata, kempen BMBF hari ini menjadi bukti bahawa orang Islam pandai berniaga dan tidak boleh diperbodohkan.

“Sekarang kita nak tunjukkan kepada dunia bahawa orang Islam ada kemampuan untuk buat (berniaga), bukannya malas tak reti buat apa-apa.

“Apabila kita menunjukkan kebaikan orang Islam, kita sekali gus tunjuk kehebatan agama Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kempen BMBF bukan bererti memboikot barangan lain keluaran bukan Islam sebaliknya lebih mengutamakan produk keluaran Muslim.

“Nak tak nak kita kena beli juga barang keluaran orang bukan Islam sebab barangan kita tak cukup. Kalau kita boikot seolah kita kembali kepada zaman mundur.

“Tetapi kalau ada barang orang Islam, kita utamakan sebab kita nak bangunkan ekonomi kita seperti kita bantu orang bukan Islam dulu menjadi kaya sekarang ini.

“Namun apabila kaya, mereka lupa kekayaan mereka sekarang ini hasil daripada kita membantu mereka,” katanya. – 30 September 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.