SEBUAH persatuan guru sekolah cuba membela dua pelajar bukan Melayu yang tidak tahu menyanyikan lagu kebangsaan, lapor sebuah akhbar Cina.

Persatuan Pengurus Dan Guru Sekolah Cina Pulau Pinang sebaliknya menyalahkan seorang penolong kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) kerana memalukan secara terbuka dua pelajar terbabit yang masing-masing berketurunan Cina dan India.

Pengerusi persatuan itu, Li Tian Lin memberitahu, penolong kanan itu dikatakan mengeluarkan kenyataan ekstrem bahawa sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) tidak mengajarkan lagu kebangsaan.

Dakwanya, dua pelajar itu telah dimarah dan dimalukan secara terbuka bahawa mereka akan membakar dan menginjak bendera negara pada masa depan kerana tidak tahu menyanyi Negaraku.

Kata Tian Lin, kenyataan seperti itu mempunyai unsur menghasut dan hanya akan memburukkan hubungan pelajar pelbagai kaum.

Katanya, rakyat Malaysia boleh hidup secara harmoni jika orang politik dan cikgu tidak mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan kaum.

“Mungkin memang ada pelajar yang tak tahu nyanyi lagu kebangsaan, tetapi ada juga pelajar yang tak tahu hafal 26 huruf dalam bahasa Inggeris.

“Apa jua keadaannya, pelajar lepasan sekolah Cina tidak harus dimalukan,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan harus mengambil perhatian sama ada terdapat guru yang menyebarkan emosi perkauman dalam sekolah.

Katanya lagi, tidak berlaku diskriminasi kaum di SRJKC kerana 18 peratus muridnya merupakan etnik bukan Cina. – 30 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.