SEBUAH badan bukan kerajaan (NGO) membongkar perbuatan kejam kerajaan China terhadap tahanan politik termasuk umat Islam Uighur.

NGO China Tribunal mendedahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland bahawa kerajaan China melakukan pembedahan secara paksa terhadap tahan sebelum mengambil organ mereka untuk dibekalkan ke pasaran gelap.

NGO itu berkata, kerajaan China mengambil jantung, paru-paru, ginjal serta buah pinggang tahanan pergerakan Falun Gong dan etnik Uighur untuk dijual kepada pesakit warga asing yang memerlukan pemindahan organ.

Peguam China Tribunal, Hamid Sabi berkata, pihaknya mempunyai bukti bagi menyokong tuduhan tersebut.

“Pengambilan organ secara paksa ini telah berlaku selama bertahun-tahun di seluruh penjuru China pada skala yang signifikan.

“Ratusan ribu mangsa terutamanya daripada etnik Uighur dan pengikut Falun Gong telah menjadi sasaran.

“Ini merupakan salah satu kekejaman terburuk abad ini,” kata Sabi.

Pada 2001, kenyataan rasmi pegawai kerajaan China mendakwa sumber utama organ manusia adalah daripada pendermaan secara sukarela oleh rakyat China.

Bagaimanapun, empat tahun kemudian mereka mendakwa kebanyakan organ diambil daripada banduan yang dijatuhkan hukuman mati dan sudah memberi kebenaran untuk diambil organ.

Difahamkan, penjualan organ manusia di pasaran gelap di China kini dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.14 bilion) setahun. – AGENSI, 28 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.