SELURUH rakyat menjangkakan pengumuman kerajaan berkaitan pengiktirafan UEC akan berlaku di Putrajaya dalam masa terdekat.

Apatah lagi Laporan Kajian Pengiktirafan UEC sejak.setahun lalu telah pun disiapkan dan akan dibentangkan esok pada pihak Menteri Pelajaran. Baca https://m.malaysiakini.com/news/493734

Tiba-tiba sahaja hari ini kita dengar Kerajaan Sabah telah membuat pengumuman lebih awal mengiktiraf UEC. Tentulah kita bertanya, mengapa Sabah pula yang umumkan sebelum Putrajaya? Baca http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sabah-iktiraf-uec-sebagai-syarat-masuk-ipta-perkhidmatan-awam-negeri-218755?amp=1

Tak kan tak boleh tunggu dulu sampai pengumuman rasmi oleh Menteri Pendidikan? Bukankan isu pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan?

Mengapa Sabah?

Jangkaan saya tentulah kerana isu UEC tidak sensitif di Sabah sebagaimana di Semenanjung. Mungkinkah ini untuk memudahkan orang di Putrajaya menyusun langkah setelah melihat apa respons rakyat selepas pengumuman di Sabah?

Katakanlah rakyat nampaknya terima sahaja pengiktirafan UEC di Sabah, maka tekan sahaja ‘butang A’ apa yang patut di buat, sebaliknya kalau rakyat tiba-tiba bangun memprotes pengiktirafan UEC dengan kuat, maka tekan pula ‘butang B’. Memang bijak kan?

Isu UEC sudah lama tapi tak pernah selesai. Kerajaan dulu tak boleh selesaikan. Kecuali YB Abdul Rahman Talib, semua Menteri Pelajaran yang lain tidak ada keberanian seperti beliau dalam menguruskan isu sekolah persendirian Cina.

Kerajaan sekarang pun nampaknya belum ada jalan penyelesaian. Mungkin mereka masih baru. Jadi masih takut-takut. Setakat yang rakyat nampak, mereka akan sebolehnya cuba “bersembunyi” bila isu pendidikan vernakular ditimbulkan oleh rakyat.

Cerita UEC mudah sahaja. Dong Zong memang tahu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan jelas tidak mengiktiraf selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan. Tetapi mereka tak peduli.

Pada mereka, itu bukan keutamaan mereka. Walaupun memang salah, tak ada sesiapa pun berani ambil tindakan pada mereka. Mereka ‘bijak’ dan telah susun strategi jangka panjang untuk menjayakan pengiktirafan UEC di negara ini.

Apa yang telah mereka lakukan?

Mula-mula Dong Zong tuntut dulu supaya UEC dibenarkan beroperasi di Malaysia. Selepas puas menuntut dan mendesak, akhirnya pada 1975, tuntutan UEC dibenarkan beroperasi di negara ini telah diluluskan oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu. Dong Zong berjaya. Selesai satu hal.

Jelas Dong Zong ada strategii. 20 tahun kemudian, pada tahun 1995, bermula pula tuntutan terbuka dari Dong Zong supaya sijil UEC diiktiraf oleh pihak kerajaan. Dari berjaya diizinkan UEC beroperasi sekarang mereka tuntut sijil UEC diiktiraf pula.

Paling keras tuntutan Dong Zong ialah melalui Gerakan Suqiu semasa PRU 1999. Ketika itu (Tun) Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri.

Tetapi mereka kecewa bila tuntutan supaya sijil UEC diiktiraf telah ditolak oleh kerajaan. Bagaimana pun, untuk “menjaga hati” MCA dan  GERAKAN,  kerajaan pimpinan UMNO telah memenuhi tuntutan Dong Zong supaya Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ditubuhkan dan sijil UEC diiktiraf untuk masuk ke UTAR.

Walaupun tuntutan penubuhan UTAR  dan UEC diiktiraf untuk masuk ke UTAR sudah pun dipenuhi, Dong Zong masih tidak berpuas hati. Mereka mahu lebih dari itu. Sejak PRU11 (2003), PRU12 (2008), PRU13 (2013) dan PRU14 (2018), siri tuntutan pengiktirafan sijil UEC terus dilakukan.

Sejak dulu, Dong Zong mendapat sokongan kuat pimpinan MCA, DAP dan Gerakan.

Mengapa Dong Zong begitu mahu supaya sijil UEC diiktiraf oleh kerajaan? Sedangkan tanpa pengiktirafan kerajaan pun sijil UEC ini sudah diberikan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Sijil UEC boleh digunakan untuk memohon ke semua universiti swasta dan kolej universiti swasta di negara ini. Hampir semua syarikat swasta juga menerima sijil UEC untuk memohon kerja di tempat mereka.

Di Pulau Pinang, anak syarikat milik kerajaan negeri telahpun mengiktiraf sijil UEC untuk tujuan memohon kerja di syarikat berkaitan. https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/09/28/cm-uec-grads-can-work-for-penangs-subsidiary-firms/

Jadi tidak timbul langsung soal mengapa pengiktirafan sijil UEC boleh menjadi satu isu besar di negara ini.

Setiap tahun tidak sampai 10 ribu pelajar yang mengambil peperiksaan UEC di negara ini. Tempat yang ditawarkan untuk belajar di universiti swasta jauh lebih besar dari itu.

UEC tidak boleh diiktiraf kerana universiti awam adalah di bawah urusan kerajaan. Menjadi dasar kerajaan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi sebagaimana peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Sebenarnya ada dua kemungkinan mengapa Dong Zong mahu sijil UEC ini diiktiraf oleh kerajaan.

Pertama, jika Dong Zong berjaya mendapat pengiktirafan UEC setara seperti  sijil SPM dan STPM, maka secara langsung akan menyebabkan sijil UEC boleh digunakan untuk memohon masuk ke universiti awam.

Apabila pelajar sijil UEC sudah diiktiraf untuk permohonan masuk ke universiti awam, tuntutan seterusnya ialah supaya ada dasar mengecualikan penggunaan bahasa Melayu kerana pelajar dari sijil UEC tidak menguasai Bahasa Melayu.

Maka akan timbul pula tuntutan isu hak asasi manusia kononnya hak mendapat pendidikan dinafikan kepada mereka kerana tidak menguasai bahasa pengajaran iaitu Bahasa Melayu.

Akhirnya universiti yang dikuasai permainan  ‘politik popular’ akan mula membuka laluan penggunaan bahasa Ibunda bukan bahasa kebangsaan di universiti- universiti awam.

Kalau penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam Akta Pelajaran 1961 boleh “dilanggar”, apa sangatlah penggunaan bahasa Ibunda di universiti?

Keduanya, jika diberikan pengiktirafan UEC, berkemungkinan secara langsung akan membuka laluan untuk pemegang sijil UEC layak memohon jawatan dalam sektor awam di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri.

Sekali lagi atas nama hak asasi manusia kononnya dinafikan hak untuk kemajuan kerjaya kerana tidak menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sektor awam akan dituntut untuk turut menggunakan bahasa ibunda dalam urusan kerajaan dan bukan sekadar hanya dalam bahasa Melayu.

UEC adalah “senjata berbisa” untuk menghapuskan amalan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akhirnya akan tinggal nama  sahaja.

Jika mereka boleh menunggu dan sanggup mendesak sejak 1953 (Dong Jiao Zong ditubuhkan), tentulah untuk meneruskan tuntutan sehingga dapat apa yang diinginkan bukanlah satu masalah.

Jangan pandang rendah. Pemimpin pengasas Dong Zong sendiri membuktikan mereka bersungguh sungguh sehingga ada yang sanggup menerima hukuman dibuang kerakyatan semata- mata kerana mempertahankan isu sekolah vernakular.

Sehingga kini ada tugu khas di bina di Kuala Lumpur  untuk  memperingati jasa usaha beliau oleh para penyokong Dong Zong. Setiap tahun akan ada acara dan majlis syarahan bGi memperingati usaha beliau.

Apa penghargaan dan peringatan yang telah bangsa Melayu bangunkan untuk mengingati Abdul Rahman Talib atau Dr Aminuddin Baki yang telah memperjuangkan pendidikan Melayu? Ada?

Saya yakin tidak ada acara tahunan untuk memperingati perjuangan mereka. Mewarisi semangat perjuangan mereka pun kita tidak mampu. Jika ada pun, sekadar menamakan sekolah atau institusi pendidikan dengan nama nama mereka. Itu sahajalah yang ada.

Alfatihah untuk mereka berdua..  – 1 Oktober 2019.

ANUAR AHMAD,

Pensyarah UKM.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.