TIADA gunanya untuk mengisytiharkan dividen yang tinggi jika ia memberi kesan negatif terhadap kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada jangka panjang dan kesannya boleh dilihat dari tahun-tahun sebelum ini, kata Menteri Pertahanan.

Mohamad Sabu berkata, tumpuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pentadbiran baharu LTAT adalah bagi menjaga kebajikan anggota ATM untuk jangka panjang.

“Kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini.

“Ini penting bagi melindungi simpanan ahli supaya tidak tergadai seperti semasa pentadbiran sebelum ini,” katanya mengulas pengumuman agihan dividen LTAT hanya 2% bagi tahun 2018.

Agihan itu merupakan paling rendah dalam sejarah LTAT.

Mohamad menambah, untuk LTAT mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik hasil daripada pelaburannya.

Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini.

Katanya, pengurusan LTAT hari ini mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

Sebagai contoh, LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017 apabila jumlah keuntungan bersih LTAT pada tahun 2017 telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada tahun 2017 turun sebanyak lebih 30% daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

Bagi Tahun Kewangan 2016, pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48% daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT.

Mohamad juga meminta LTAT memperketatkan strateginya untuk menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan ahli-ahlinya. – 1 Oktober 2019.

2 COMMENTS

  1. Siapa yang cari pelabur. Pelabur cari Mat Sabu ke mat Sabu cari pelabur. Nak tepis kelemahan cari lah idea yang logik.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.