KONGRES Maruah Melayu Tanah Aku mampu mengukuhkan lagi perpaduan orang Melayu dan Islam selepas kejayaan sama dalam penyatuan ummah, kata seorang aktivis masyarakat.

Hairul Amin berkata, setiap orang Melayu sentiasa mengharapkan penyatuan bangsa itu di negara ini bagi mengukuhkan kedudukan sama ada dalam pentadbiran, ekonomi dan kerajaan.

Oleh itu katanya, beliau berharap kongres yang akan berlangsung pada 6 Oktober ini membuka mata pemimpin Melayu dalam kerajaan untuk menggunakan kuasa sebaik mungkin demi kepentingan bangsa sendiri.

“Kita harap Tun Mahathir Mohamad tegas dengan keputusan untuk martabatkan Islam dan institusi selain membantu orang Melayu.

“Pastikan Perkara 153 dalam Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu sebagai teras dalam pentadbiran.

“Kita juga harapkan kongres ini dapatkan kukuhkan lagi hubungan orang Melayu selepas penyatuan ummah,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Namun Hairul memberi amaran bahawa ada pihak akan mengecam dan mengancam jika pemimpin Melayu memperjuangkan perkara itu.

Jelasnya, pihak itu wujud dalam kerajaan sekarang dan tidak mempedulikan soal bangsa lain walaupun ada yang kehilangan nyawa seperti yang berlaku kepada arwah Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Mereka tak peduli semua itu dan yang penting dapat naikkan kebencian terhadap orang Melayu.

“Inilah jadinya bila dibiarkan, cacing naik ke mata. Setiap hari ada saja isu yang gugat Perlembagaan dan menjejaskan hubungan kaum di Malaysia.

“Walaupun sudah agak terlewat dianjurkan, kongres ini mampu menjadi platform untuk mengatasi semua masalah tersebut,” katanya.

Kongres Maruah Melayu Tanah Aku akan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam dengan penglibatan ahli akademik dari empat universiti tempatan.

Universiti Malaya (UM) sebagai penganjur utama akan dibantu oleh Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Perguruan Sultan Idris.

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu pada zaman ini- NTHQiBord, 1 Oktober 2019.

1 COMMENT

  1. POLIS WAJIB AMBIL TINDAKAN MENDAKWA MEREKA KERANA TIDAK TAAT SETIA KPD RAJA DAN NEGARA SEBAGAIMANA RUKUN NEGARA.DILUCUTKAN KERAKYATAN DAN DIPENJARAKAN SEKURANGXNYA 10 TAHUN MANDOTORI. BAGI MEMBERI AMARAN PADA YG LAIN SUPAYA TIDAK MEMPERSENDAKAN RUKUN NEGARA.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.