TINDAKAN Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mempertikaikan amaran Kementerian Pendidikan berhubung isu doa Kristian dilihat sebagai cubaan melampaui batas dan tidak menghormati Perlembagaan.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memberi amaran serius kepada pemimpin DAP itu yang dilihat sebagai mencampuri urusan Kementerian Pendidikan di dalam isu majlis doa di sekolah di negeri Pulau Pinang.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, isu pendidikan merupakan tanggungjawab Persekutuan di dalam Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Alif juga mengingatkan Ramasamy bahawa Kerajaan Negeri tiada hak untuk mencampuri segala urusan Kementerian Pendidikan termasuklah sama ada tindakan disiplin diambil oleh pihak Kementerian.

“Oleh yang demikian, YB P Ramasamy sila sedar akan kedudukan beliau dan jangan melampaui batas.

“Mengapa P. Ramasamy mahu berlebih-lebihan sedangkan hal ehwal Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih banyak perlu diselesaikan.

“Jangan cuba menjadi hero mengenai hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

GPMS juga ingin mengingatkan P. Ramasamy bahawa Agama Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Alif berkata, maka demikian, kepentingan mendahulukan bacaan doa sekiranya majoriti pelajar beragama Islam adalah diterima.

“GPMS selaku antara NGO Pendidikan Melayu yang tertua di negara ini akan mempertahankan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya. – 2 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.