PENGIRING Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fan Page berhubung kenyataan berbaur menghina raja-raja.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan laporan polis itu yang dibuat pada 11.15 pagi kelmarin di Balai Polis Seksyen 6.

Laporan polis itu dibuat atas titah Sultan Sharafuddin ekoran kenyataan berbaur penghinaan yang tular dalam media sosial.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Polis menerima satu laporan polis merujuk kepada kenyataan biadap dikeluarkan satu akaun Facebook menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor.

“Laporan itu diterima polis semalam susulan kenyataan berbaur hina dalam tulisan Cina dan biar kita siasat dalam semua aspek dulu, saya tak mahu komen lanjut buat masa ini,” katanya Mazlan.

Beberapa hari lepas, satu status pemilik akaun FB Nga Kor Ming Super Fans Page menyebarkan kenyataan biadap berbaur menghasut yang mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor.

Kenyataan itu didakwa mengajak masyarakat membenci Sultan Selangor kerana arahan baginda supaya papan tanda jalan raya di Shah Alam digantikan dengan papan tanda jalan tulisan berbahasa Melayu.

Semalam Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menasihati bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ‘bertaubat’ dan kembali kepangkal jalan daripada terus melakukan perbuatan menabur fitnah.

Beliau berkata, sebagai seorang yang beragama Islam Najib tidak sepatutnya membiarkan dirinya terjerumus dalam kancah fitnah kerana perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar.

“Nasihat saya kepada Datuk Seri Najib, sila bertaubat dan kembali kepangkuan jalan sebelum terlambat.

“Janganlah terus terjerumus dalam kancah menabur fitnah kerana dari segi Islam fitnah adalah satu dosa yang besar dan itu tidak baik.

“Kembalilah ke pangkuan jalan sebagai seorang kekanda beliau harus faham betapa seriusnya apabila kamu terus menabur fitnah,” katanya berikutan hantaran di laman Facebook Najib yang mengaitkan Nga Kor Ming Super Fans Page dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu.

Kor Ming mendakwa ia merupakan fitnah dan palsu. – 3 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.