DEWAN Muslimat PAS Malaysia berharap Kongres Maruah Melayu akan berjalan dengan lancar dan membuka kebenaran terhadap realiti yang berlaku kepada orang Islam dan Melayu hari ini.

Ketua DMPM, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, sayap pimpinan PAS memberi kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi dengan penuh kefahaman terhadap keputusan untuk menghadiri kongres itu.

“Moga (kongres) berjalan lancar dan dilaksanakan dengan penuh kesedaran realiti yang berlaku kepada orang Melayu.

“(Bincang) apa punca dan bagaimana penyelesaiannya.

“Melayu bermaruah hanya akan berjaya dengan Islam.

“Saya harap kongres ini akan membawa keinsafan ke arah itu,” katanya kepada NTHQiBord.

Kongres Maruah Melayu akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 6 Oktober ini.

Kongres yang berlangsung selama sehari itu, golongan akademik dari empat universiti tempatan akan membincangkan lima bidang utama iaitu persoalan politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama.

Empat universiti awam yang terlibat dalam penganjuran kongres itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). – NTHQiBord, 3 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.