KONGRES Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini perlu merungkai beberapa isu penting yang perlu diberikan perhatian, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian adalah tentang, komitmen semua pihak untuk mempertahankan kesucian Islam di negara ini.

Beliau berkata, dalam kongres tersebut, perkara kedua yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai pengukuhan tonggak penting dalam Perlembagaan.

Katanya, perkara ketiga pula adalah merencana solusi konstruktif bagi menyelesaikan kemelut orang Melayu Islam seperti cabaran ekonomi dan perniagaan, pendirian terhadap dasar afirmatif, masalah sosial, pendidikan dan budaya.

“Pas menjangkakan kongres ini adalah salah satu wahana penting bagi membincangkan secara serius kedudukan orang Melayu Islam tanpa dipengaruhi kepentingan parti politik.

“Kami juga menasihati pemimpin parti politik Pakatan Harapan supaya tidak membakar sentimen anti perpaduan.

“Kenapa perlu memburuk-burukkan keadaan apabila hampir semua pemegang taruh kepentingan orang Melayu Islam berbincang tentang nasib sendiri? Adakah ini dianggap rasis?” soalnya..

Tuan Ibrahim berkata, tujuan pihaknya menghantar wakil ke kongres itu adalah untuk mengukuhkan penyatuan ummah dan merapatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Objektif KMM bukan didasari oleh semangat sentimen semasa, tetapi kerana menginsafi peranan yang harus dilaksanakan untuk membela nasib umat Islam di Malaysia sebab itulah PAS menghantar wakil ke kongres tersebut.

“Dalam pada itu, PAS juga melihat aspirasi kongres itu harus didukung bersama oleh pewaris generasi muda,” katanya lagi.

Kongres tersebut merupakan anjuran bersama empat universiti iaitu, Universiti Malaya (UM); Universiti Tekonlogi Mara (UiTM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.