APABILA UMNO-PAS mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) pada bulan lalu, wartawan bertanya kepada Menteri AMANAH-DAP, Datuk Seri Mujahid Rawa tentang saingannya terhadap Gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Jawapan beliau, Ia bukan tentang pertandingan tetapi tentang satu dasar yang mahukan negara ini maju ke hadapan.

“Saya tidak ada hasrat atau keinginan langsung untuk menandingi atau menyaingi perkara yang bagi saya adalah pertandingan ke neraka. Saya mahu pertandingan ke syurga,” katanya.

Kenyataannya itu seolah-olah menggambarkan HPU jalan menuju ke neraka sedangkan himpunan itu menyatukan dua parti Islam dan Melayu terbesar di negara ini.

Seperti biasa, Mujahid membidas media bahawa kenyataannya itu disalahtafsir dan menjelaskan perkara ‘neraka’ tidak merujuk ke mana-mana parti.

Tapi apabila Kongres Maruah Melayu diadakan, Menteri Agama ini tidak pula bersuara sepatah pun tentang usaha golongan akademik mahu menyatukan golongan Melayu dan Islam.

Tidakkah Mujahid berasakan idea Rahmatan Lil Alaminnya tergugat dengan Kongres Maruah Melayu?

Mana komen Mujahid untuk mengatakan kongres ini bukan satu pertandingan ke syurga atau neraka?

Seperti dikatakan sebelum ini, beliau mahu pertandingan ke syurga dan adakah baginya kongres ini salah satu dari jalan seperti dimahukannya?

Atau beliau hanya merasakan Gagasan Rahmatan Lil Alamin hanya jalan terbaik ke arah penyatuan Islam dan Melayu.

Seperti yang Mujahid tahu, kongres ini turut melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan wakil UMNO manakala AMANAH juga akan menghantar wakil mereka.

Apabila HPU dikecam oleh Pakatan Harapan terutamanya DAP, Mujahid turut menyumbang suara menyokong ‘abang besarnya’ itu.

Tapi bila kelmarin penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertikai keperluan Kongres ini, tidak pula kedengaran Mujahid membela himpunan yang mengumpulkan golongan cendiakawan Melayu Islam ini.

Sedangkan wakil dari partinya akan juga hadir pada kongres yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dengan menyaksikan Tun Mahathir Mohamad akan menyampaikan amanatnya.

Sebagai orang Islam dan Melayu yang berstatus Menteri Agama, Mujahid patut pertahankan kongres ini dan mula mengangkat muka terhadap Kit Siang.

Dalam soal menjaga kepentingan Melayu dan Islam, Mujahid perlu lebih berani menongkah arus dan tidak terus mengikut telunjuk DAP. – 6 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.