PEMBESAR suara di semua surau dan masjid di Johor tidak perlu diperlahankan, titah Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Arahan tersebut yang dikeluarkan menerusi surat bertarikh 29 September dan tular dalam laman sosial serta disahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menerusi surat terbabit, Tunku Ismail berkata, masjid-masjid di seluruh negeri ini berperanan bagi melaksanakan program dakwah termasuk ceramah yang berperanan menyampaikan syiar Islam.

“Penggunaan pembesar suara juga digunakan untuk melaungkan azan sebagai memperingati umat Islam bahawa masuknya waktu solat di kawasan berhampiran.

“Penggunaan pembesar suara juga bagi menyampaikan tilawah al-Quran dan ceramah atau pengajian tertentu, maka penggunaan pembesar suara tidak perlu diperlahankan,” jelas beliau dalam surat terbabit.

Sebelum ini surat berbenaan tular dalam media sosial yang memohon agar sebuah masjid di daerah ini agar memperlahankan azan selepas terdapat aduan awam berhubung isu terbabit.

Menerusi surat yang disahkan oleh Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad itu turut menegaskan bahawa peranan institusi masjid perlu dihormati dan diterima bagi setiap lapisan masyarakat tambahan Islam adalah agama rasmi di negeri ini. – 6 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.