KERAJAAN perlu tegas dan komited untuk memansuhkan sekolah vernakular kerana ia tidak memupuk perpaduan yang sepatutnya di negara ini.

Sebaliknya, kerajaan perlu memperkasakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan negara ini kembali ke landasan sebenar.

Perkara itu adalah antara pembentangan untuk resolusi Kluster Pendidikan, di Kongres Maruah Melayu, di Stadium Malawati di sini, semalam.

Ia dibentangkan mahasiswa Pendidikan Jasmani, Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim.

Fatik berkara, hanya sekolah satu aliran saja yang dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi masa depan yang bakal mewarisi negara ini.

Jelasnya, sekolah satu aliran boleh dilakukan dalam tempoh enam tahun sahaja jika kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

“Jika kita lihat isu berkaitan mengenai sekolah vernakular, sebenarnya ia tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk perpaduan.

“Di setiap sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, mereka menggunakan bahasa pengantar berbeza.

“Oleh sebab itu resolusi ini mahu pemansuhan sekolah vernakular dalam tempoh enam tahun, ini bertepatan kerana pendidikan telah dikenal pasti sebagai satu kunci utama kepada alat penyatuan perpaduan.

“Gunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada tahun 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya, sehingga 2026. Menjelang tahun 2026, semua sekolah menjadi satu aliran,” katanya. – 7 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.