Nga Kor Ming, Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

POLIS memanggil Timbalan Speaker DAP, Nga Kor Ming untuk memberi keterangan berhubung siasatan kenyataan yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan itu dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fans Page dan Kor Ming dipanggil untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan perkara tersebut berkata, Pengerusi DAP Perak itu akan dipanggil ke Bukit Aman.

“Yang (kes FB hina Sultan) itu dalam siasatan lagi. Janganlah tanya berapa ramai yang telah dipanggil setakat ini dan diambil keterangan, saya pun tak ingat.

“Secara umumnya saya boleh kata siasatan sedang berjalan dan kita akan kemukakan kepada Peguam Negara,” katanya.

Pada 2 Oktober lalu, Mazlan mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis daripada pengiring Sultan Sultan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam kira-kira pukul 11.15 pagi 1 Oktober lalu.

“Polis menerima satu laporan polis merujuk kepada kenyataan biadap dikeluarkan satu akaun Facebook menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan,” kata Mazlan.

Pada 29 September lalu, hantaran dalam tulisan Cina menerusi akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page didakwa mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor berkaitan penggunaan tulisan Jawi. – 7 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.