TUN Mahathir Mohamad menjadikan Kongres Maruah Melayu sebagai platform untuk memberi ‘amaran’ kepada DAP dan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Hamidah Osman.

Bekas Naib Presiden BERSATU itu berkata, kehadiran Tun Mahathir ke kongres itu menyerlahkan dirinya yang sebenar dalam mencapai matlamatnya dengan apa cara sekali pun walaupun terpaksa bersama dengan musuh politiknya.

Jelasnya sebagai contoh, Tun Mahathir selama berpuluh tahun bermusuh dengan Lim Kit Siang, Anwar dan Mohamad Sabu, tetapi akhirnya sanggup bersama demi menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

“Dia (Tun Mahathir) akan wujudkan suasana konon untuk kepentingan yang lebih besar dan rela berkorban serta lakukan apa saja sedangkan matlamat sebenar adalah untuk kepentingan sendiri.

“Kalau kita amati, kemarahan Tun Mahathir kepada Najib bermula dari kekalahan Mukriz bertanding Naib Presiden UMNO dengan alasan Najib tidak menyokongnya.

“Maka dicarinya alasan munasabah untuk jatuhkan Najib dan kebetulan isu 1MDB sedang hangat maka digunakan isu itu untuk jatuhkan Najib atas slogan Selamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamidah berkata, Tun Mahathir sanggup menumbangkan sebuah kerajaan Melayu, walaupun dulu beliau dilihat sebagai pejuang Melayu tulen.

Namun kini, Hamidah berkata, Tun Mahathir sedang mencari jalan untuk terus berkuasa dan menolak Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Kerjasama PAS-UMNO adalah sesuatu yang di luar dugaannya dan sesuatu yang amat merungsingkan dan beliau semakin tersingkir sebagai pemimpin Melayu.

“Maka datanglah idea untuk mengadakan Kongres Maruah Melayu kononnya demi menyatukan Melayu bersatu konon.

“Sekali lagi matlamat menghalalkan cara. Beliau sanggup hadir dan mengangkat tangan musuh musuh politik dia bagi memberi gambaran kononnya demi Melayu.

“Tapi itu bukan matlamatnya yang sebenar, sebaliknya sebagai ‘signal’ kepada DAP dan Anwar supaya jangan terlampau menekan beliau dan segala kemungkinan bakal terjadi,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.