ORANG Melayu mesti mengambil manfaat daripada himpunan Kongres Maruah Melayu bahawa hanya kesatuan ummah dapat mengembalikan semula maruah orang Melayu, kata Nik Mohamd Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, beliau mengambil positif teguran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengungkapkan “Melayu malas” sebagai dorongan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu.

“Kita melihat dari sudut yang positiflah. Memang orang kurang senang hati kalau Tun terus mempertahankan bahawa orang Melayu ini malas.

“Bagi saya, itulah teguran kalau kita tengok dari sudut yang positif itu memang baguslah. Kita tidak boleh nafikan yang orang Melayu ini rajin, bijak dan sebagainya.

“Tetapi kalau kita terus memuji Melayu, Melayu ini bijak, Melayu ini rajin, tak ada orang nak sebut Melayu ini malas, maka tidak akan ada kesedaran untuk membangkitkan semua orang Melayu.

“Secara umumnya, saya menyokong kongres ini dan saya harap melalui pertemuan ini banyak mendedahkan kita kepada perkara-perkara baru untuk kita bersama menaikkan maruah orang Melayu,” katanya.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, kehadiran PAS ke kongres itu untuk tidak memberi peluang kepada musuh politik PAS yang akan menjadikan “peluru” untuk melaga-lagakan usaha penyatuan orang Melayu.

“Kalau kongres ini tidak dihadiri oleh PAS atau tidak dihadiri oleh Muafakat Nasional, maka orang Melayu akan dilihat dua.

“Satu Muafakat Nasional satu lagi Kongres Melayu, jadi tidak hadir itu menjadi ‘peluru’ kepada musuh.

“Ia juga menjadi kewajiban menyahut seruan agama, kita disuruh untuk hidup bersatu. Apabila berlaku perbalahan, berlaku khilaf, itu bukan kehidupan asal orang Islam. Asal kehidupan ini ialah bersatu,” tambahnya.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada penganjur KMM terdiri daripada Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris kerana memberi kepercayaan kepada PAS untuk berucap dalam resolusi kluster agama yang diwakili oleh Ahli Parlimen PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Sebanyak lima kluster resolusi telah dibentangkan dalam KMM iaitu budaya, pendidikan, agama, ekonomi dan politik.

Resolusi tersebut kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyerahan resolusi disaksikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, pimpinan Melayu dari komponen Pakatan Harapan, NGO-nNGO dan tokoh-tokoh Melayu. – 8 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.