PETANG ini (kelmarin) dapat mendengar kembali dua ucap utama Kongres Maruah Melayu dari mula sampai habis.

Ucapan pertama oleh Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling selaku wakil pihak penganjur. Ucapan kedua pula ialah ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nampaknya kedua dua ucapan ini sangat berbeza sekali semangatnya. Berbeza sekali mesejnya. Dan berbeza sekali kandungannya.

Ucapan Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling mewakili pihak penganjur seperti mahu mengangkat kembali maruah Melayu melalui pengiktirafan terhadap ‘ketuanan Melayu’ versi UMNO-PAS.

Ucapan beliau menuntut agama Islam jangan lagi dihina, Bahasa Melayu jangan lagi direndahkan, hak istimewa Melayu jangan lagi di ganggu dan institusi Raja Melayu jangan lagi dicabar.

Ucapan tegas beliau mahu bangsa Melayu dikembalikan maruah mereka melalui keluhuran perlembagaan persekutuan. Maksudnya apabila semua pihak bersetuju mengiktiraf keluhuran perlembagaan maka maruah Melayu berada di kedudukan yang sepatutnya.

Ucapan Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling tidak menyentuh langsung soal bangsa Melayu yang terancam dari segi ekonomi bila kekayaan negara ini dimiliki oleh bangsa lain.

Jika dihayati ucapan Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, seolah-olah bangsa Melayu tidak kisah sangat soal orang bukan Melayu menjadi kaya raya atas usaha mereka sendiri di negara ini. Asalkan jangan dihina Islam, Bahasa Melayu , Hak Istimewa Melayu dan Institusi Raja Melayu.

Ucapan Tun Mahathir pula nyata berbeza sekali. Seperti yang saya jangkakan, Tun tidak sentuh langsung dalam ucapan beliau soal penghinaan Islam, Bahasa Melayu, Hak Istimewa Melayu dan Institusi Raja Melayu. Nampaknya Tun tidak mahu terperangkap dalam naratif maruah Melayu anjuran UMNO-Pas.

Seluruh ucapan beliau tertumpu pada sikap buruk bangsa Melayu dalam bidang ekonomi. Diulang-ulang beberapa kali tentang sikap orang Melayu yang tidak rajin bekerja.

Diperlihatkan kisah orang Melayu tidak sanggup bekerja dalam pekerjaan yang kotor, bahaya dan berat. Orang Melayu juga dikatakan tidak sanggup bekerja kerana dibayar gaji rendah.

Orang Melayu juga ditegur oleh Tun Mahathir kerana tidak pandai berniaga walaupun berbagai bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan sejak sekian lama.

Disebutkan di pertengahan ucapan beliau bahawa apa yang orang Melayu hanya pandai ialah bekerja makan gaji, pandai menunggu bantuan kerajaan dan juga pandai menjual tanah sahaja.

Hari ini kita berpeluang mendengar dua gagasan berbeza tetapi saling melengkapi tentang mengangkat maruah Melayu.

Gagasan pertama, diseru supaya orang Melayu kembali bersatu dan menuntut orang lain menghormati kedudukan dan maruah Melayu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. PENYATUAN perlu demi maruah Melayu.

Gagasan kedua, orang Melayu dituntut supaya mahu mengubah sikap buruk dalam diri mereka supaya maruah mereka tidak dihina oleh orang lain. PERUBAHAN sikap perlu demi maruah Melayu. – 8 Oktober 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

1 COMMENT

  1. Tanya Atok ada tak orang cina yg nak kerja kontrak gaji RM 1’100/=…!!???
    Atok turun lah seawal 2 pagi ramai ke tidak orang Melayu berniaga di UPTOWN IBUKOTA bersengkang mata….!!!?? Sedang anak cucu-cicit Atok lena di buai mimpi indah.
    Melayu pemalas kah mereka..???
    Atok asyik menyalak menyalahkan Melayu,
    Sehingga lupa Atok lah arkitek (22tahun) yg di amanahkan menjaga bangsa Melayu tetapi gagal melakukannya, tetapi mencipta anak² Atok sehingga melangkaui jutawan(bilionair), bersama apek² cina.
    Cukup cukup lah menjaja keseluruh dunia Melayu pemalas…!!!
    Atok menjadikan Harimau berwajah kucing,
    Lalu dibuli anjing anjing garang yg satu ketika anjing gelandangan…!!!
    Begitu lah aibnya seorang yg berbangsa Melayu yg Atok cipta dan jaja ke pelusuk dunia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.