ORANG Melayu dipanggil untuk bersatu dalam Muafakat Nasional kerana ia diwujudkan dalam acuan Islam yang dijunjung, kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu mengakui bahawa wujud Melayu rajin dan ada Melayu yang malas seperti disuarakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu.

“Yang malas memang bala. Yang rajin pun, kalau tolak agama, apa guna?,” katanya.

Disebabkan itu, Nik Abduh menasihatkan orang Melayu agar meninggalkan Pakatan Harapan kerana ia tiada ‘Melayu’ di dalam gabungan itu.

“Usahkan warna, bau Melayu pun tak ada dalam PH.

“PAN bau DAP. Kalau tak percaya, cuba cium kalau mampu..,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.

Nik Abduh antara pemimpin PAS yang hadir ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam.

Kongres itu merupakan anjuran Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai usaha memartabatkan maruah orang Melayu.

Sebanyak lima kluster resolusi telah dibentangkan dalam KMM iaitu budaya, pendidikan, agama, ekonomi dan politik.

Resolusi tersebut kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penyerahan resolusi disaksikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, pimpinan Melayu dari komponen Pakatan Harapan, NGO-nNGO dan tokoh-tokoh Melayu. – 7 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.