Benarkah Melayu malas atau…

2

AKHBAR Mingguan Malaysia pada Ahad (6 Oktober 2019) melaporkan jurang pendapatan kumpulan etnik Bumiputera dan Cina di negara ini semakin melebar.

Pada tahun 1989 perbezaan pendapatan antara Bumiputera dan Cina pada RM497 sebulan.

Jurang ini semakin membesar pada tahun 2016 kepada RM1,736 sebulan.

Maksudnya orang Cina lebih kaya hampir 3.5 kali ganda berbanding orang Melayu di negara ini.

Melihat kepada trend ini yang tidak berubah sejak 30 tahun lalu, jurang kekayaan Bumiputera dan Cina dijangka akan terus melebar pada masa akan datang.

Untuk rekod, Malaysia telah banyak melancarkan dasar ekonomi untuk kesejahteraan rakyat. Bermula DEB dilancarkan pada 1970, seterusnya DPN, MEB, Wawasan 2020 dan terkini Wawasan Kemakmuran Bersama 2019.

Semua dasar ekonomi ini bertujuan untuk menyusun semula ekonomi masyarakat dan merapatkan jurang pendapatan antara kumpulan etnik. Malangnya semua usaha ini masih gagal mencapai apa yang sepatutnya dicapai sejak berakhirnya DEB pada 1990.

Tentulah kita akan bertanya mengapa semua usaha tersebut gagal?

Banyak kertas kajian dan laporan yang boleh kita baca untuk memahami kegagalan ini.

Hampir semuanya yang sempat saya baca telah meletakkan punca kegagalan kepada kelemahan perlaksanaan dasar.

Bagi memudahkan kita memahaminya, saya senaraikan tiga ‘teori kecil’ yang saya percaya telah mendasari kegagalan perlaksanaan usaha ini.

Teori pertama, ada pandangan yang mengatakan jurang pendapatan antara kumpulan Bumiputera dan Cina semakin melebar kerana orang Melayu malas dan Cina rajin. Ini berkaitan teori sikap kumpulan etnik.

Tun Mahathir Mohamad adalah antara tokoh yang sangat kuat memegang teori ini. Beliau percaya kemiskinan bangsa Melayu kerana mereka malas dan kekayaan bangsa Cina kerana mereka rajin.

Pandangan beliau bahawa Melayu bangsa yang malas konsisten sejak beliau menulis “The Malay Dilemma” (1970) lagi.

Dan kali terakhir beliau berkata Melayu bangsa yang malas (sekarang beliau gunakan istilah Melayu tidak rajin) ialah semalam di dalam ucapan beliau di Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati pada Ahad 6 Oktober 2019.

Tapi beliau bukanlah orang pertama percaya kepada teori “Melayu Malas” ini. Pihak kolonial Inggeris juga mempunyai pandangan yang sama lebih awal daripada itu.

Atas asas ‘Melayu malas’ inilah maka penjajah membawa masuk ribuan imigran dari China dan India untuk mengusahakan lombong bijih dan ladang getah di Tanah Melayu.

Teori kedua untuk menjawab mengapa jurang pendapatan Bumiputera dan Cina semakin melebar ialah orang Melayu sejak sekian lama berada dalam sektor ekonomi tidak produktif. Teori ini menolak teori Melayu bangsa malas.

Profesor Syed Hussein Alatas antara pendokong kuat yang menyatakan bangsa Melayu bukan bangsa yang malas.

Di dalam bukunya The Myth of Lazy Native (1977) dinyatakan hujah-hujah yang menolak sifat malas menjadi sebab kemiskinan pada sesuatu bangsa tetapi kemiskinan sangat bergantung kelemahan sistem ekonomi termasuklah bila sesuatu bangsa berada atau ‘dipaksa’ berada di dalam sektor ekonomi yang tidak produktif.

Sejak sekian lama orang Melayu majoritinya adalah petani, nelayan dan bekerja kampung. Kemudian mereka diaturkan oleh sistem ekonomi untuk berada dalam sektor kerajaan dan makan gaji.

Sehingga kini pun masih belum ramai orang Melayu yang berjaya sebagai gunatenaga profesional berbanding kaum Cina.

Selagi mana bangsa Melayu berada dalam sektor ekonomi tidak produktif maka selagi itulah jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina akan semakin melebar.

Apa yang harus dilakukan ialah agenda keluarkan Melayu dari sektor pertanian dan pekerjaan tidak produktif.

Atau jika tidak mahu keluarkan, tingkatkan sektor pertanian menjadi sektor ekonomi yang produktif.

Bolehkah dicari jalan supaya pendapatan seorang petani hampir sama seperti seorang doktor atau peguam? Jika boleh disamakan elok kekalkan orang Melayu dalam sektor pertanian.

Jika tidak boleh disamakan pendapatan petani dan pekerja profesional elok fikirkan strategi untuk keluarkan Melayu dari sektor pertanian.

Teori ketiga yang menjawab kepada mengapa jurang pendapatan semakin melebar ialah teori wujudnya ‘diskriminasi’ di kalangan Cina terhadap orang Melayu.

Profesor Ungku Aziz pernah menjalankan kajian bagaimana rantaian peniaga Cina berjaya menghalang ekonomi Melayu berkembang di negara ini.

Bagaimana sifat pengilang, pemborong dan peraih Cina bersifat menindas petani dan peniaga Melayu.

Hwok Aun Lee dan Muhammad Abdul Khalid pula di dalam kajian mereka juga membuktikan bahawa majikan Cina didapati telah melakukan diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat mereka.

Baca juga kajian oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) bertajuk “Racism in Recruitment: Racial Bias For Entry Level Jobs’ (March 7, 2019) yang membuktikan wujudnya diskriminasi majikan Cina terhadap graduan Bumiputera.

Selain itu didapati ada keadaan di mana diskriminasi oleh majikan Cina yang membayar gaji yang berbeza berdasarkan latar belakang kaum. Kajian oleh Marcia M. A. Schafgans bertajuk “Ethnic Wage Differences in Malaysia: Parametric and Semiparametric Estimation of the Chinese-Malay Wage Gap” di dalam Journal of Applied Econometrics menulis “The strong ‘discrimination’ favouring Chinese over Malays observed using the parametric results is negated by the semiparametric results.

Selain itu ada kajian didapati pekerja Melayu ditindas dan sukar naik pangkat di syarikat milik Cina. Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr. Mohammed Abdul Khalid di dalam buku beliau “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia (2014) menulis seperti berikut :

“Amalan dan layanan berat sebelah yang memihak kepada tenaga kerja bukan Melayu, wujud secara jelas dalam sektor swasta bukan milik bumiputera. Ini dicerminkan oleh gaji rendah pekerja bumiputera, kenaikan gajinya yang dilambatkan, dan peluang latihan yang terhad”.

Menariknya walaupun fenomena ini ketara, disedari oleh masyarakat khususnya orang Melayu tetapi seperti sukar diakui oleh para majikan Cina. Jika begitu bagaimana jalan penyelesaian dapat dicari untuk kebaikan bersama.

Tiga teori ini di atas telah cuba menjelaskan mengapa masih wujud jurang perbezaan kekayaan yang besar antara Bumiputera dan Cina sejak 30 tahun lalu dan dijangka akan berterusan.

Perbincangan ini bersikap adil dan seboleh mungkin cuba bersifat objektif dengan bersandarkan kepada fakta dari sumber sejarah, pandangan sarjana ekonomi dan data empirikal kajian semasa.– 9 Oktober 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

2 COMMENTS

  1. Melayu bukan malas, rata rata orang melayu beragama islam. Jadi setiap perbuatan mereka berlandaskan agama islam. Mereka diingatkan sebelum melakukan sesuatu tentang dosa dan pahala. Kalau nak buat sesuatu yang boleh mendatangkan dosa, jangan buat.
    Contoh dalam perniagaan, apa saja urusan jual beli hendaklah berlandaskan islam. Hendakkan sesuatu kena dapatkan dengan cara yang betul. Bukan main langgar je, takde istilah jolok dengan wang. Itu semua cara haram.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.