KHABAR angin bertiup kencang mengatakan akan berlakunya Pilihan Raya Negeri Perak susulan penularan satu surat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.

Dalam perkongsian oleh aktivis masyarakat Muhsin Lateef di Facebook, satu surat bertarikh 6 Oktober menjelaskan tentang permohonan SPR untuk mengadakan lawatan awal di sekolah sebagai pusat mengundi.

Surat itu juga membenarkan SPR Perak mengadakan lawatan itu bermula 1 September hingga 30 November ini.

Penularan surat itu di media sosial mengukuhkan lagi bahawa kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri susulan kemelut politik yang berlaku di Perak.

Bukan lagi rahsia hubungan rapuh antara parti komponen Pakatan Harapan yang memerintah Perak melibatkan PKR, BERSATU dan DAP.

Parti DAP paling terkesan dengan krisis dalaman susulan kes rogol melibatkan exco Perak, Paul Yong yang kini dihadapkan ke mahkamah.

Selain itu, seperti didedahkan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad
, DAP kini berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan diketuai Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dan satu kumpulan lagi diketuai oleh M Kula Segaran (Naib Pengerusi DAP Pusat).

Malah difahamkan, tiga ADUN DAP Perak dikatakan tidak sehaluan lagi dengan parti dan berkemungkinan akan lompat atau keluar parti menyebabkan kedudukan Pakatan Harapan di Perak goyah.

Malah Pakatan Harapan membentuk kerajaan di Perak hanya disebabkan ‘ihsan’ dua ADUN Barisan Nasional keluar parti dan menyokong Datuk Seri Faizal Azumu yang kemudiannya menjadi Menteri Besar.

Pada PRU14 lalu, BN menang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi dan PAS menang tiga kerusi.

Namun, dua ADUN BN keluar parti dan menyokong PH yang memiliki kelebihan 30 kerusi ADUN berbanding BN-UMNO 28 kerusi. – 9 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.