PENAHANAN dua ADUN DAP di Melaka dan Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan mengundang rasa tidak puas hati pemimpin DAP terutamanya dari kaum India.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago antara paling awal mengecam penahanan ADUN Gadek, G Saminathan serta ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren oleh polis antikeganasan semalam.

Charles memberi alasan bahawa tindakan polis sebagai membuang masa dan sumber polis kerana LTTE tidak mempunyai cawangan di Malaysia.

Malah katanya, LTTE sudah terkubur dan tiada cubaan untuk mengaktifkan kumpulan pengganas itu di Malaysia.

Jika benar kata-kata Charles, kenapa ada perarakan membawa bendera seakan-akan LTTE dan gambar pemimpin LTTE digantung pada majlis memperingati kumpulan pengganas itu di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menjengkelkan, Charles cuba menyamakan pengganas LTTE dengan pejuang Palestin.

“Kenapa ahli LTTE tidak dianggap “pejuang kebebasan” di Malaysia – sama seperti pejuang hak Palestin.

“Perjuangan LTTE sama seperti warga Palestin yang menentang negara berkuasa membabitkan rampasan tanah dan penguasaan ekonomi,” katanya.

Malah Charles menggesa pula kerajaan Malaysia untuk menentukan LTTE sama ada gerakan bebas atau kumpulan pengganas.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Malaysia antara lebih 30 negara yang mengharamkan kumpulan pengganas Tamil itu. – 11 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.