KITA teliti reaksi pemimpin DAP ke atas tindakan PDRM menangkap dan menahan dua ADUN DAP, YB Gunasekaren Palasamy dan YB Saminathan Ganesan, di bawah SOSMA:

(1) Charles Santiago berkata PDRM buang masa dan patut fokus kepada isu jenayah yang lebih mendesak.

(2) Lim Kit Siang dan Dr P Ramasamy berkata, PDRM patut dakwa dua ADUN DAP di mahkamah kalau ada bukti.

(3) Lim Guan Eng berkata DAP percaya dua ADUN-nya tidak bersalah dan akan dibebaskan.

(4)Ambiga bekas Presiden Majlis Peguam pula kata utk siasat,panggil saja dan tidak payah tahan.Macam mana nak siasat kalau tidak tahan..?

Kita tanya kepada Charles Santiago:

Kamu tahu tak bahawa PDRM ada banyak bahagian, Bahagian Anti Jenayah kerjanya membanteras jenayah, Bahagian Anti Pengganas kerjanya membanteras pengganas.

Takkan kamu nak suruh Bahagian Anti Pengganas buat kerja membanteras jenayah pula bila kerjanya adalah membanteras pengganas?

Kita tanya kepada Lim Kit Siang dan Dr P Ramasamy:

Kamu tahu tak bahawa tindakan PDRM menangkap dan menahan dua ADUN DAP di bawah SOSMA itu memang dalam kerangka menyiasat untuk mendakwa mereka di mahkamah selaras dengan Seksyen 12 SOSMA berbunyi “Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi”?

Kita tanya kepada Lim Guan Eng:

Sebelum kamu nak kata dua ADUN DAP tidak bersalah dan akan dibebaskan ini, kamu sudah telitikah dulu kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dan bandingkanlah dengan kes SOSMA yang pernah berlaku?

Ini kenyataan Datuk Ayob Khan mengenai tangkapan ke atas ADUN DAP Seremban Jaya, YB Gunasekaren Palasamy: “(Tangkapan) yang pertama melibatkan seorang ADUN dari Negeri Sembilan yang mana ADUN ini pada 28 November tahun lepas (2018) telah menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah menyampaikan ucapan yang berunsur sokongan terhadap LTTE dan beliau juga dikesan mengedar risalah serta item-item yang berkaitan dengan LTTE di dalam program tersebut.”

Ini pula kenyataan Datuk Ayob Khan mengenai tangkapan ke atas ADUN DAP Gadek, YB Saminathan Ganesan:

“Tangkapan kedua melibatkan seorang ADUN dari Melaka yang mana penglibatannya juga hampir sama dengan ADUN dari Negeri Sembilan tadi, iaitu pada 28 November tahun lepas (2018) telah menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE dan mengedar item-item yang berkenaan dengan LTTE.”

Dari kenyataan Datuk Ayob Khan, dua ADUN DAP ini berkemungkinan besar akan didakwa di bawah salah satu atau kedua-dua pertuduhan berikut:

(1) Pertuduhan di bawah Seksyen 130J (1) Kanun Keseksaan berbunyi: “Barang siapa yang dengan pengetahuan dan dengan apa-apa cara mencari sokongan bagi, atau memberi sokongan kepada – (a) mana-mana kumpulan pengganas; atau (b) berlakunya perbuatan pengganas, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga puluh tahun, atau denda.”

(2) Pertuduhan di bawah Seksyen 130JB (1) Kanun Keseksaan berbunyi: “Barang siapa – (a) mempunyai milik, jagaan atau kawalan; atau (b) menyediakan, memaparkan, mengedar atau menjual, apa-apa bahan yang berkaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau pelakuan suatu perbuatan pengganas hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi tujuh tahun, atau dengan denda.”

Bandingkan pula kes dua ADUN DAP ini dengan kes SOSMA yang melibatkan Siti Noor Aishah Atan yang yang dibicarakan di bawah Seksyen 130JB (1) Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April 2017 hanya kerana memiliki 12 buah buku yang berkaitan dengan Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari 22 Mac 2016.

Oleh itu, berdasarkan prinsip keadilan, bila Siti Noor Aishah Atan yang hanya memiliki 12 buah buku yang berkaitan dengan kumpulan pengganas boleh dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, adalah munasabah bahawa dua ADUN DAP yang menyampaikan ucapan menyokong kumpulan pengganas dan mengedar item-item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas paling tidak sekalipun haruslah dibicarakan di bawah Seksyen 130JB (1) Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman penjara yang setara. – 12 Oktober 2019.

DR KAMARUL YUSOFF,

Penganalisis politik.

1 COMMENT

  1. Pdrm perlu tegas dalam bab pengganas ltte ni..yg kepala di pulau pinang tu paling perlu ditangkap dan patut keluar dari bumi malaysia ini..suruh penyokong2 ltte ni duduk dalam negara ltte itu sendiri.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.