AHLI politik perlu bertenang dan membiarkan sahaja polis menjalankan tanggungjawab mereka tanpa prejudis, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara itu memberi jaminan pihaknya akan hanya bertindak berdasarkan bukti sahih dan tidak akan sesekali menangkap mana-mana individu sesuka hati seperti yang menjadi kerisauan segelintir pihak.

“Saya tidak main tangkap orang sesuka hati. Ingat itu. Kami ada bukti tertentu sebelum membolehkan pihak kami bertindak.

“Saya minta pemimpin politik ini supaya bertenang. Keselamatan adalah tanggungjawab PDRM. Insya Allah, saya yakinkan kamu sekelian, dalam semua perkara saya akan berlaku adil. Saya akan ikut SOP. Jangan risau.

“Polis akan bawa kes ini kepada Jabatan Peguam Negara dan biarkan mereka membuat keputusan tentang bukti tersebut. Itu terpulang sepenuhnya kepada mereka.

“Saya berniat untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi lebih ‘ganas’ lagi. Kami mempunyai bukti melaksanakan tindakan tangkapan. Terpulanglah kepada mereka dan peguam mereka untuk berhujah, kita tengok sama-sama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang tangkapan terbaru yang membabitkan dua pemimpin DAP didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tangkapan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditangkap iaitu ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran itu juga mendapat reaksi negatif daripada kalangan pimpinan tertinggi parti itu, yang turut mengkritik polis.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan tangkapan itu sangat mengejutkan dan amat yakin kedua-dua pimpinan tersebut sebenarnya tidak bersalah, malah pihaknya akan berdiri teguh di belakang kedua-dua mereka.

Guan Eng berkata, DAP sudah menyediakan pasukan undang-undang diketuai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bagi mewakili dua pemimpinnya itu.

Manakala Adun Seberang Prai merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy pula menggambarkan penahanan dua wakil rakyat DAP dan lima yang lain kerana didakwa ada ada kaitan dengan LTTE itu tidak masuk akal sama sekali. – 12 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.