WUJUD transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk mengaktifkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini, dedah polis.

Lebih membimbangkan, polis mendapati kumpulan LTTE itu mempunyai cawangan di setiap negeri berdasarkan jumlah transaksi kewangan yang dikesan itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, transaksi kewangan itu dikesan dalam akaun individu yang ditahan dalam operasi pada Khamis dan Sabtu (10 dan 12 Oktober) kerana disyaki terbabit LTTE.

“Hasil penggeledahan terhadap premis serta telefon bimbit suspek, polis merampas bendera, poster, gambar pemimpin LTTE serta mengesan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar.

“Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” katanya pada sidang media, di Bukit Aman, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan jumlah nilai transaksi kewangan yang dikenalpasti.

“Ada pergerakan untuk cuba aktifkan LTTE dan sebab itu polis tangkap untuk tidak benarkan aktiviti kumpulan ini berkembang.

“Ada dua yang ditahan dan merancang melakukan serangan secara ‘Lone Wolf’ di negara ini, contohnya, mereka pernah mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar pada 2016,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan menegaskan tangkapan LTTE tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan politik sebaliknya ia isu keganasan.

“Tangkapan dibuat kerana sokong keganasan dan polis tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja tidak kira dari parti mana. Polis akan terus jalankan siasatan dan jika ada asas serta bukti kukuh, tangkapan susulan akan dilakukan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran sesiapa yang terlibat membiayai dan menyokong LTTE kini berada dalam ‘radar’ Counter Terrorism Cawangan Khas.

Ditanya mengapa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan tidak diambil keterangan terlebih dahulu, Ayob Khan berkata: “Ini kesalahan keselamatan dan jika hanya ambil keterangan, mereka akan bagi ‘statement on surface’ selain polis tiada hak untuk geledah”.

Mengulas penularan gambar pemimpin dengan individu dikaitkan LTTE, beliau berkata, polis tidak sewenang-wenangnya menahan mana-mana individu.

Beliau turut menjelaskan adalah tidak menjadi kesalahan untuk bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, tetapi tindakan menyokong LTTE adalah salah.

“LTTE telah diisytihar satu kumpulan keganasan… kenapa perlu sokong lagi kumpulan ini,” katanya.

Seramai 12 individu termasuk dua ADUN ditahan pada Khamis dan Sabtu (10 dan 12 Oktober) kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. – 13 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.