TINDAKAN Pakatan Harapan (PH) membenarkan warga asing membeli hartanah bermula harga RM600,000 berbanding RM1 juta sebelum ini adalah silap dan mencurigakan, kata BERJASA.

Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Muhammad Thalhah Kamarol Zaman berkata, sepatutnya kerajaan tidak boleh menggalakkan permintaan membeli hartanah daripada warga asing kerana ia menyebabkan harga rumah di negara ini semakin meningkat.

“Perkara berkenaan juga akan mengakibatkan golongan kelas tempatan warganegara Malaysia tidak mampu membeli rumah, berikutan kenaikan harga,” katanya menurut laporan sebuah portal.

Terdahulu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

“Lambakan itu dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Pada masa sama, Thalhah menyifatkan bahawa tindakan kerajaan seperti ‘bodoh’ dan mencurigakan kerana tiada sebab untuk membantu pemaju perumahan menyelesaikan stok yang tidak terjual.

Katanya, hal ini kerana stok rumah yang tidak terjual akan melalui fasa ‘price adjustment’, iaitu harga yang masih boleh dibincang, yang akhirnya akan dapat memenuhi permintaan rakyat tempatan.

“Kerajaan sepatutnya membantu rakyat tempatan yang masih mencari rumah pertama dengan tawaran insentif dan menggalakkan lebih banyak pelaburan perumahan untuk disewa,” katanya. – 13 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.