SAYA yakin rakyat akan mengutamakan kedaulatan undang-undang, apatah lagi demi keselamatan rakyat itu sendiri dan keamanan negara.

Maka penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan beberapa lagi individu oleh polis bagi tujuan siasatan atas dakwaan ada kaitan dengan pertubuhan penganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini, menjadi perhatian besar rakyat.

Menurut laporan berita berdasarkan kenyataan Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, dua ADUN itu ditahan kerana menghadiri majlis sokongan kepada LTTE di Melaka.

Program itu sudah agak lama berlalu, tetapi polis bertindak hasil pemerhatian dan penyiasatan yang tentunya mengambil masa.

Atas sebab itu, kita mesti menyakini dan menyokong tindakan polis yang lebih arif hal keselamatan menjangkaui pengetahuan masyarakat awam.

Rakyat ingin tahu apakah terdapat sel-sel LTTE di negara ini dan berapa banyak bantuan kewangan yang diberikan oleh pemimpin tertentu DAP kepada LTTE, jika ada?

Juga persoalan tidak kurang menarik, apakah terdapat unsur dan kaitan LTTE dengan kejadian rusuhan isu kuil dan pembunuhan anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang menggemparkan negara pada akhir tahun lalu?

Persoalannya kini, apakah selepas penyiasatan isu LTTE itu, mereka akan dibebaskan begitu sahaja atau didakwa? Atau dibebaskan dengan jaminan polis?

Atau apakah lama kelamaan lenyaplah isu ini seperti yang menjadi bahan sinikal umum. Inilah satu lagi kesempatan bagi rakyat menilai ketegasan polis dan sejauh mana polis tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu terutama DAP.

Jika penahanan dua ADUN DAP itu atas alasan hadir perjumpaan menyokong  dan mengutip dana untuk LTTE, kenapa tidak ditahan mereka yang turut hadir seperti P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang) dan M. Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia)?

Malah, Lim Guan Eng sepertimana gambar yang tular, dikatakan pernah hadir dalam majlis sokongan kepada LTTE? Tetapi belum dapat disahkan.

Polis menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang  akan ditahan. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Apakah nama VVIP akan turut ditahan? Saya masih ingat Operasi Lalang 1987, yang mana lebih 100 pemimpin, aktivis dan individu telah ditahan termasuk tiga Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Saya adalah salah seorang yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi VVIP yang berucap berapi-api selamat dan tidak ditangkap. Kenapa?

Semua sudah menjadi cerita dalam lipatan sejarah dan Operasi Lalang telah mencapai matlamat kepada pihak yang melancarkan operasi tersebut.

Alhamdulilah, walaupun sekali lagi saya ditahan di bawah ISA, namun saya tetap menyokong akta itu supaya tidak dimansuhkan.

Saya di “boo” di Parlimen apabila membahaskan pemansuhan Rang Undang-Undang ISA selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Saya menegaskan, ISA adalah Taming Sari keselamatan rakyat dan negara. Kini nasi sudah menjadi bubur.

Ada pihak yang bertanya kepada saya dari sudut keselamatan dan politik mengenai penahanan dua ADUN DAP ini.

Jika diambil kira lain-lain isu dan isu lebih terkini, sepatutnya atas faktor keselamatan, sewajarnya mereka diambil tindakan tegas termasuk kes menghina Islam dan Raja-Raja Melayu. Ia juga adalah isu keselamatan.

Ada soalan yang saya tergaman apabila ditanya, apakah mungkin ini tindakan psikologi atau perang saraf politik? Orang Melayu memang ramai yang amat marah kepada DAP atas banyak sebab.

Sokongan Melayu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan (PH) berada pada tahap amat rendah.

Kebetulan pula akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjong Piai di Johor tidak lama lagi.

Tidak mungkinkah ini bagi meraih sedikit sokongan Melayu berikutan tindakan tegas terhadap DAP melalui penahanan dua ADUNnya atas isu sokongan kepada LTTE?

Ia boleh dilihat sebagai isyarat kononnya kerajaan PH amat tegas di bawah kepimpinan PPBM dan PH yang kebetulannya Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah dari PPBM.

Mesej politik yang mahu disampaikan adalah PPBM adalah parti Melayu yang tegas dan berani ke atas sesiapa termasuk DAP.

Maknanya PPBM tidak lagi memberi muka kepada DAP. Maka dengan mudah ikan bilis menjadi sasaran.

Semoga dengan ini, orang Melayu akan bertepuk dan wajarlah Melayu menyokong PPBM.

Semoga juga PPBM dapat meraih lebih undi orang Melayu pada PRK Tanjung Piai 16 November ini nanti.

Tergamam saya untuk menjawabnya kerana ada logik lontaran pertanyaan itu.

Isu-isu lain yang Melayu menderita kerana DAP selama ini tidak penting.

Caranya adalah memainkan isu sentimen lain dari segi perang saraf.

Terpulanglah kepada kita untuk sama-sama berfikir. Sekilas ikan di air, sudah boleh tahu jantan atau betina, bagi yang mindanya tajam dan kritikal.

Sama-sama kita tunggu dan lihat wayang menang sorak kampung tergadai yang mempunyai banyak sirinya. Ternyata kerap berlaku, walaupun bunyi guruh, tetapi hujan tidak turun. – 14 Oktober 2019.

DATUK PADUKA IBRAHIM ALI,

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

1 COMMENT

  1. Lama atau baru bukan lah isu nya. Isu nya sikap dan pegangan org2 yg ada pengaruh yg terang2 terlibat dgn membawa masuk kenegara ini doktrin terrorism dan mereka cuba menghalal dgn mengaitkan nya dgn yg berlaku di tempat lain. Ia juga bermakna sikap dan ideology mereka ini telah lama wujud. Ketaatan pd negara menjadi tanda tanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.