SEORANG graduan Cina bertindak biadap apabila membawa plakad dan terjerit-jerit di atas pentas ketika majlis konvokesyen di Universiti Malaya.

Graduan tersebut, Wong Yan Ke tiba-tiba mengeluarkan sekeping kertas warna kuning bersaiz besar daripada jubah yang dipakai sambil menjerit sebanyak tiga kali; ‘no rasis, ini tanah Malaysia’.

Aksi biadap itu turut dirakamkan dan tersebar di media sosial.

Tindakan itu dikatakan sebagai protes kepada penglibatan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Berdasarkan pencarian di Facebook, graduan terbabit menyatakan tindakannya itu sebagai tanda protes terhadap ucapan Abdul Rahim pada kongres berkenaan di Stadium Malawati Shah Alam, pada 6 September lalu yang didakwanya berunsur perkauman.

Yan Ke mendakwa, Naib Canselor UM bersikap rasis serta telah menyalahgunakan nama universiti untuk tujuan agenda parti politik malah mempersoalkan bukti akademik yang menyokong tuntutan dalam kongres yang sama.

“Saya pernah berbincang dengan beberapa orang pensyarah dari UM tentang Kongres Maruah Melayu. Sebenarnya mereka turut berasa terkejut dan malu dengan ucapan Naib Canselor pada hari tersebut.

“Mereka menentang perbuatan beliau yang menyalahgunakan nama UM untuk tujuan agenda parti politik malah mempersoalkan bukti akademik yang menyokong tuntutan beliau dalam kongres tersebut.

“Apa yang lebih menyedihkan ialah kritikan-kritikan ini hanya boleh berlaku di belakang pentadbir, mereka tidak berkuasa untuk mempersoalkan kebertanggungjawapan Naib Canselor terhadap kesilapannya. Sampailah pensyarah-pensyarah mula bertanya sama ada organisasi gerakan mahasiswa mahasiswi akan mengambil tindakan kali ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial tersebut.

Dia juga melancarkan kempen untuk desak Naib Canselor UM meletak jawatan hanya kerana mempertahankan maruah Melayu..

Difahamkan, graduan yang sama juga pernah terlibat dalam insiden ‘bergaduh’ dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam semasa lawatan Datuk Seri Najib Razak ke UM pada tahun lepas.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.