LAPORAN Ketua Audit Negara 2018 mengesahkan bahawa kedudukan keseluruhan hutang awam dan komitmen kewangan kerajaan adalah berjumlah RM1.021 trilion.

Menerusi laporan sebanyak 112 muka surat yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Audit Negara, hasil yang diterima kerajaan pada tahun lalu adalah berjumlah RM232.883 bilion iaitu meningkat RM12.476 bilion atau 5.7 peratus berbanding tahun 2017.

“Perbelanjaan mengurus dan pembangunan adalah berjumlah RM287.055 bilion iaitu meningkat sejumlah RM24.477 bilion berbanding tahun 2017.

“Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM53.385 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 3.7 peratus,” katanya menerusi rumusan dan syor audit dalam laporan tersebut.

Jelas laporan itu, kerajaan Persekutuan telah membuat pinjaman dari dalam dan luar negara berjumlah RM131.599 bilion bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan bayaran balik hutang.

Hutang Persekutuan adalah berjumlah RM741.049 bilion dengan nisbah hutang kepada KDNK pada paras 51.8 peratus.

“Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kepada pinjaman yang dibuat oleh badan berkanun atau syarikat berjumlah RM266.468 bilion.

“Perbelanjaan kerana hutang negara (kos bagi mendapatkan pinjaman dan faedah pinjaman) meningkat kepada RM30.547 bilion pada tahun 2018,” katanya.

Selain itu, pelaburan kerajaan Persekutuan dalam deposit, sekuriti dan pegangan saham syarikat atau badan berkanun atau agensi adalah berjumlah RM31.058 bilion.

Akaun Belum Terima (ABT) Kerajaan Persekutuan pada akhir tahun 2018 adalah berjumlah RM86.935 bilion yang terdiri daripada Pinjaman dan Pendahuluan Boleh Dituntut serta Pelbagai ABT. – 15 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.