APABILA Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha keras menangani ancaman keganasan sama ada Daesh atau Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), rakyat seharusnya berbangga dengan usaha pihak berkuasa itu.

Tapi hairannya ada parti politik yang mempertikaikan usaha PDRM itu apabila ada pemimpin mereka yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

Sebagai contoh, parti yang dominan dalam kerajaan Malaysia, DAP, sepatutnya berbangga dengan penangkapan suspek pengganas yang dipercayai terbabit dalam kalangan ahli parti itu.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, sebagai pemerintah yang paling dominan di Putrajaya, tindakan pihak berkuasa ke atas ahli yang disyaki terbabit kumpulan pengganas itu menunjukkan bahawa DAP bersikap telus dan berintegriti.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi gerakan Islam Malaysia itu berkata, DAP mengambil pendirian yang salah dengan membela suspek, bahkan menyanggah pula tindakan yang diambil oleh kerajaannya sendiri.

“Jadi, DAP sebenarnya berada di pihak mana? Adakah DAP menjalankan dasar DAP sahaja dan menentang apa-apa dasar kerajaan yang bercanggah dengan dasar parti itu?

“Ini menampakkan bahawa DAP tidak bersifat nasional, ia kelihatan berorientasikan kaum-kaum tertentu sahaja. DAP akan membantah dasar kerajaan sendiri apabila bercanggah dengan kehendak kaum-kaum yang berlindung dalam parti itu,” katanya kepada sebuah portal hari ini.

Pemimpin DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy bertegas supaya polis berhenti menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), termasuk penangkapan dua ADUN yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Setakat ini, polis menahan 12 individu termasuk dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan daripada DAP kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Hasil penggeledahan dilakukan terhadap 12 suspek, pihak polis merampas bendera, buku, poster, gambar pemimpin LTTE serta bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Polis juga berjaya mengesan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut dan menggerakkan program-program berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan minoriti.

Kumpulan pemberontak itu dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan Kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia. – 15 Oktober 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.